Oleh: Mazlini Adnan, Mohd Hairy Ibrahim, Ahmad Fauzan, Yulyanti Harisman, Minora Nasution, Aqilul Asra, Hafizatunnisa, Pipin Sumarni, Norlia Musaid
TROLAK, 19 Ogos 2026 — Kerjasama antarabangsa antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universitas Negeri Padang (UNP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak diperkukuh melalui pelaksanaan aktiviti pembelajaran matematik berasaskan projek di MRSM Trolak pada 18 hingga 19 Ogos 2026. Program ini bertujuan meneroka dan memperkukuh keupayaan numerasi matematik murid di Malaysia dengan menghubungkan konsep matematik dengan situasi kehidupan sebenar.
Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek, murid didedahkan kepada aktiviti menghasilkan wau sebagai medium untuk mengaplikasikan konsep matematik, khususnya nombor berskala dan simetri. Pemilihan wau sebagai bahan pembelajaran bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang kontekstual dan bermakna, malah membolehkan murid melihat bahawa konsep matematik yang dipelajari di dalam bilik darjah mempunyai kaitan yang rapat dengan kehidupan seharian.
Aktiviti ini diketuai oleh Prof. Dr. Ahmad Fauzan dari UNP, bersama ahli pasukan yang terdiri daripada Dr. Yulyanti Harisman, Dra. Minora Nasution, Aqilul Asra, S.Pd., Hafizatunnisa, M.Pd. dan Pipin Sumarni, M.Pd. Dari UPSI pula, oleh Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan dan Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dengan penglibatan dua orang pelajar doktor Falsafah (PhD) iaitu Nurul Husna dan Hasmira.
Sepanjang program, murid diperkenalkan kepada proses pembuatan wau serta hubungan antara reka bentuk wau dengan konsep matematik, khususnya skala dan kesimetrian. Aktiviti ini dirancang untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang aktif, kreatif dan menyeronokkan, di samping membantu murid mengembangkan keupayaan berfikir secara matematik.
Pada hari pertama, murid diperkenalkan kepada konsep skala dan kesimetrian serta hubungannya dengan reka bentuk dan pembuatan wau. Murid turut dibimbing untuk mengenal pasti unsur-unsur matematik yang terdapat pada wau dan memahami bagaimana konsep tersebut dapat diaplikasikan dalam menghasilkan reka bentuk yang seimbang dan tepat.
Pada hari kedua, murid menjalankan aktiviti menghasilkan wau dengan mengaplikasikan konsep skala dan kesimetrian yang telah dipelajari. Setelah menyiapkan wau, murid diberi peluang untuk membentangkan hasil kerja mereka di hadapan kelas. Dalam sesi pembentangan tersebut, murid menerangkan langkah-langkah menghasilkan wau serta menjelaskan hubungan antara proses pembuatannya dengan konsep matematik yang dipelajari.


Menurut Cikgu Lia, salah seorang guru di MRSM Trolak, program tersebut mendapat sambutan yang baik daripada murid dan memberikan nilai tambah kepada proses pembelajaran. Beliau menyifatkan aktiviti berkenaan sebagai satu pengalaman positif kerana murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu dalam matematik, malah berpeluang belajar melalui aktiviti yang bersifat praktikal dan kreatif.
Kerjasama UPSI dan UNP melalui aktiviti ini diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan kognitif dan numerasi matematik murid, khususnya melalui pengalaman pembelajaran yang menghubungkan konsep matematik dengan kehidupan sebenar. Pada masa yang sama, penggunaan wau sebagai konteks pembelajaran turut menjadi medium untuk memperkenalkan dan memelihara warisan budaya agar terus dikenali serta dihargai oleh generasi muda.
Program ini juga memperlihatkan bahawa pembelajaran matematik tidak semestinya terhad kepada buku teks dan bilik darjah, sebaliknya boleh diterokai melalui budaya, kreativiti dan aktiviti kehidupan seharian. Inisiatif sebegini sekali gus membuka ruang kepada kerjasama akademik dan pendidikan yang lebih luas antara UPSI dan UNP dalam memperkasa inovasi pengajaran dan pembelajaran matematik di peringkat antarabangsa.
