TNC HEPA Bersama petugas – petugas dari kalangan Majlis Mahasiswa Siswa KHARTNC HEPA Bersama petugas – petugas dari kalangan Majlis Mahasiswa Siswa KHAR

Oleh Suriati Ismail

TANJONG MALIM, 14 September – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menerima seramai 1,552 orang pelajar baharu sehingga jam 4.30 petang hari ini, dalam suasana pendaftaran yang berlangsung lancar sepanjang 12 hingga 14 September.

Kelancaran proses pendaftaran dan penginapan pelajar ini hasil kerjasama erat antara pihak pentadbiran kolej, barisan Felo serta Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMK KHAR) yang bersama-sama turun padang bagi memastikan urusan ketibaan dan penempatan pelajar berjalan dengan baik.

Selain membantu proses pendaftaran penginapan, MMK KHAR turut memainkan peranan dalam menguruskan kedatangan pelajar dari Borneo yang hadir lebih awal ke kolej. Bermula jam 5.00 petang hingga 3.00 pagi, anggota MMK bertugas bagi menyambut ketibaan pelajar dan terus membantu menguruskan penginapan mereka.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan dan urusan ketibaan, kira-kira 100 orang petugas ditempatkan di kolej untuk mengawal trafik, menyantuni pelajar dan ahli keluarga serta membantu mengangkat barangan pelajar ke rumah masing-masing.

Barisan Petugas Kolej Harun Aminurrashid yang bertugas di Kolej Kediaman
Menerima ketibaan pelajar Borneo ke Kolej KHAR pada jam 3.oo pagi
Petugas daripada Kolej Harun Aminurrashid membantu di dewan

Dalam masa yang sama, seramai 16 orang ahli MMK dan jawatankuasa KHAR turut ditugaskan di dewan bagi membantu melancarkan proses pendaftaran dan urusan berkaitan pelajar baharu.

Menurut Pengetua KHAR, kejayaan melancarkan proses pendaftaran selama tiga hari ini bukanlah hasil usaha satu pihak sahaja, sebaliknya lahir daripada semangat kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terlibat.

“Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh pentadbiran kolej, Felo, MMK serta semua jawatankuasa amat membanggakan. Masing-masing sanggup meluangkan masa dan tenaga, malah ada yang bertugas sehingga awal pagi bagi memastikan setiap pelajar yang hadir dapat ditempatkan dengan baik. Inilah semangat kekeluargaan yang kita mahu terus bina dan pupuk dalam komuniti KHAR,” ujar Pengetua KHAR.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus memastikan setiap urusan pendaftaran dan penempatan pelajar dapat dilaksanakan dengan teratur walaupun melibatkan jumlah pelajar yang ramai.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UPSI turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KHAR atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan proses pendaftaran pelajar baharu.

“Kelancaran pendaftaran ini mencerminkan kekuatan budaya kerja berpasukan yang ada dalam warga UPSI. Apabila semua pihak bergerak sebagai satu pasukan, setiap urusan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar. Saya amat menghargai kesungguhan pihak kolej, Felo dan mahasiswa yang turun padang membantu memastikan kebajikan serta keperluan pelajar baharu diberikan perhatian. Semangat seperti ini perlu terus dipupuk sebagai sebahagian daripada budaya UPSI,” katanya.

Sepanjang tiga hari pendaftaran berlangsung, tiada sebarang masalah besar dilaporkan. Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak berjaya memastikan proses pendaftaran, penginapan dan pergerakan pelajar dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar.

Komitmen yang ditunjukkan oleh warga KHAR bukan sahaja membantu melancarkan urusan pendaftaran, malah turut memperlihatkan semangat kebersamaan, kerjasama dan kekeluargaan dalam kalangan warga kolej.

Dengan berakhirnya proses pendaftaran ini, KHAR terus bersedia menyambut pelajar baharu untuk memulakan perjalanan mereka sebagai mahasiswa UPSI dengan semangat baharu dan pengalaman yang lebih bermakna.