oleh :Ir. Dr. Azizul Qayyum Basri
NIBONG TEBAL, 21 September – Dalam usaha memupuk kesedaran kelestarian alam sekitar sejak bangku sekolah, Pusat Mobiliti Pintar dan Lestari UPSI (UPSI Centre of Smart and Sustainable Mobility – UPSI-MoST) kini mengorak langkah kanan menerusi agenda pembangunan Modul Spesifik Kejuruteraan Kenderaan Elektrik (EV) dan Teknologi Hijau yang disasarkan khusus untuk pelajar sekolah menengah rendah.
Inisiatif berimpak tinggi ini menyaksikan satu sesi kunjungan hormat dan perbincangan meja bulat diadakan semalam antara delegasi pakar UPSI-MoST bersama tokoh industri automotif terkemuka global, Dr. Horizon Gitano-Briggs, bertempat di fasiliti penyelidikan Focus Applied Technologies Sdn. Bhd., Pulau Pinang.
Ketua delegasi merangkap Pengarah UPSI-MoST, Ir. Dr. Azizul Qayyum bin Basri menyatakan bahawa universiti perlu memainkan peranan hulu (upstream) dalam mendedahkan generasi muda kepada evolusi industri automotif moden yang kini beralih arah kepada sifar emisi.
“Apa yang membezakan acuan UPSI-MoST dengan pusat penyelidikan lain ialah kebitaraan kita dalam aspek pedagogi dan pemindahan ilmu (knowledge transfer). Kami mahu menterjemahkan teknologi EV yang kompleks ini ke dalam bentuk kurikulum asas yang interaktif, santai, dan mudah difahami oleh pelajar sekolah menengah rendah,” ujar beliau ketika sesi lawatan tersebut.
Cetusan Idea Alat Bantu Mengajar (ABM) Berteknologi Tinggi
Sesi sumbang saran yang berlangsung selama hampir dua jam itu telah berjaya melahirkan draf rangka idea struktur modul holistik, di samping mengenal pasti kriteria Alat Bantu Mengajar (ABM) yang bersesuaian.
Bagi memastikan teori yang digariskan mampu divisualisasikan dengan berkesan, delegasi UPSI-MoST turut dibawa meninjau makmal pengujian utama syarikat untuk menilai beberapa perkakasan industri seperti Automotive Chassis Dynamometer (ACD Series), EV Battery Pack Life Tester, dan modul Data Acquisition (DAQ). Komponen-komponen penderia (sensors) dan perisian simulasi masa nyata ini direncanakan untuk dikecilkan skopnya (downscaled) bagi dijadikan kit latihan amali hibrid/EV yang selamat dan praktikal untuk kegunaan di sekolah.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek integrasi media digital menerusi penggunaan modul Computer-Based Training (CBT) interaktif terbitan Focus Applied Technologies sebagai bahan rujukan sokongan multimedia di dalam bilik darjah.
Jaringan Strategik Global
Kehadiran universiti ke Focus Applied Technologies disifatkan sebagai langkah yang sangat tepat memandangkan syarikat tersebut merupakan rakan kongsi rasmi kepada program alam sekitar United Nations Environment Programme (UNEP) dalam memacu mobiliti lestari peringkat antarabangsa.
Turut hadir dalam delegasi tersebut ialah Biro Akademik dan Latihan, Prof. Madya Dr. Zaliza binti Hanapi; Biro Jaringan Industri, Dr. Abdul Muqsith bin Ahmad; serta Biro Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Mohamad Amiruddin bin Ismail.
Pasca-lawatan ini, UPSI-MoST komited untuk segera menggerakkan penulisan draf pertama modul serta reka bentuk prototaip kit ABM dengan sokongan teknikal berterusan daripada pihak industri. Langkah proaktif ini dijangka bakal meletakkan UPSI sebagai pelopor utama dalam membina ekosistem pendidikan awal Teknologi Hijau Automotif di Malaysia, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah status karbon neutral.

