Oleh: Jamilah Mohd Basir

SEBERANG PERAK, 21 September 2026 – Dalam usaha memperkukuh profesionalisme tenaga akademik dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, Kolej FELCRA telah menganjurkan Program Asas Pedagogi yang melibatkan barisan pensyarah Kolej FELCRA di Seberang Perak, Perak.

Program ini memberi tumpuan kepada pemantapan pengetahuan dan kemahiran pedagogi dalam kalangan pensyarah agar proses pengajaran bukan sahaja berorientasikan penyampaian kandungan, malah mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih berkesan dan bermakna kepada pelajar.

Sesi perkongsian dikendalikan oleh Dr. Jamilah Mohd Basir, Pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang dijemput sebagai penceramah dan pakar rujuk dalam bidang pedagogi.

Program sehari tersebut dibahagikan kepada tiga slot utama yang merangkumi memahami pelajar, penilaian dan pentaksiran; pembelajaran berkesan dan strategi pengajaran; serta penyeliaan akademik dan bimbingan pelajar. 

Slot 1 Memahami Pelajar 
Pembentangan Kaedah Pengajaran 

Slot pertama memberi penekanan kepada kepentingan memahami pelajar sebagai asas dalam merancang pengajaran. Pensyarah perlu mengenali keperluan dan tahap penguasaan pelajar agar pendekatan pengajaran serta kaedah pentaksiran yang digunakan benar-benar menyokong proses pembelajaran. Sementara itu, slot kedua memberi fokus kepada pembelajaran berkesan dan kepelbagaian strategi pengajaran.

Peserta didedahkan kepada pendekatan yang menggalakkan penglibatan aktif pelajar melalui perbincangan, aktiviti kolaboratif, penyelesaian masalah dan penggunaan situasi pembelajaran yang berkaitan dengan bidang masing-masing.

Aspek penyeliaan akademik dan bimbingan pelajar pula menjadi fokus slot ketiga. Peranan pensyarah bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, tetapi juga sebagai pembimbing yang membantu pelajar membina keyakinan, membuat keputusan dan mengembangkan keupayaan untuk belajar secara lebih berdikari.

Pelaksanaan program ini turut membuka ruang kepada para pensyarah untuk berkongsi pengalaman serta membuat refleksi terhadap amalan pengajaran masing-masing. Pendekatan perkongsian dan perbincangan menjadikan program lebih interaktif serta memberi peluang kepada peserta menghubungkan prinsip pedagogi dengan situasi sebenar dalam pengajaran.

Program Asas Pedagogi ini mencerminkan komitmen Kolej FELCRA dalam memperkukuh pembangunan profesional tenaga akademik dan meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran. Usaha sebegini penting bagi memastikan pensyarah sentiasa bersedia menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan perubahan keperluan pelajar dan perkembangan pendidikan semasa.