SUNGKAI – Program Water Rafting Kampung Angkat Santuni Madani Bersama Komuniti Pos Bersih dianjurkan bertujuan untuk memperkasakan ekonomi komuniti Orang Asli menerusi pemindahan ilmu pemanduan arus deras dan pendedahan kepada sektor eko-pelancongan.
Program ini merupakan inisiatif kolaborasi berasaskan kerjasama pelbagai agensi, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak dan Kedah.
“Pihak JAKOA amat menyambut baik jalinan kerjasama strategik ini. Melalui latihan kemahiran berasaskan eko-pelancongan ini, penduduk tempatan berpeluang membina kerjaya serta menjana pendapatan secara mandiri dengan memanfaatkan sumber alam semula jadi secara selamat”, ujar En. Harulnizam Abd Rahman, Pengarah JAKOA Negeri Perak dan Kedah.
Program yang berlangsung pada 23 hingga 25 September 2026 bertempat di Mengkawan Chalet, Sungkai ini melibatkan penyertaan daripada 20 orang komuniti Kampung Orang Asli Pos Bersih.
Melalui program ini peserta didedahkan dengan modul kemahiran yang merangkumi teknik asas keselamatan di air, pengendalian rakit, serta pemanduan water rafting bagi laluan sungai gred 2 hingga gred 4 oleh Prof. Madya Dr. Mazuki bin Mohd Yasim, Pensyarah Fakuti Sains Sukan dan Kejurulatihan.



Inisiatif di bawah seliaan projek Kampung Angkat Santuni Madani UPSI ini memfokuskan kepada pantauliahan komuniti pinggir bandar Orang Asli yang majoritinya berpendapatan B40 supaya lebih kompeten dalam mengendalikan aktiviti pelancongan sukan lasak secara selamat, berkesan, dan lestari. Selain aspek penjanaan pendapatan, program ini turut menekankan elemen kesedaran alam sekitar bagi memastikan aktiviti pelancongan tidak menjejaskan habitat semula jadi setempat.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff pula berkata, inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan UPSI dalam memajukan masyarakat menerusi projek Kampung Angkat Santuni Madani UPSI.
“Pemindahan ilmu pemanduan rafting ini bukan sahaja membina ketahanan fizikal dan kendiri peserta, malah memberi impak sosioekonomi yang nyata kepada komuniti Orang Asli Pos Bersih”.

