oleh NUR AMIRAH ROHIM

Tanjong Malim, 26 September 2026 – Program Mihrab 3.0 kembali dianjurkan pada 26 September 2026 bertempat di Masjid Al-Mursyidin dengan pengisian yang memfokuskan kepada empat modul utama, iaitu Al-Quran, Tauhid, Fiqah dan Tasawuf. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang ini menghimpunkan para peserta dalam sesi pengajian dan aktiviti berkumpulan.

Sesi dimulakan dengan Modul Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Ali bin Abdul Malek melalui pengisian 30 Kesalahan Lazim dalam Surah Al-Fatihah. Perkongsian tersebut memberikan pendedahan berkaitan kesalahan yang sering berlaku dalam bacaan Al-Fatihah serta kepentingan memastikan bacaan yang tepat dan betul dalam kehidupan seharian, khususnya dalam solat.

Sesi seterusnya diteruskan dengan Modul Tauhid yang disampaikan oleh Ustaz Azizi bin Jasa berkaitan asas kefahaman Tauhid. Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk melaksanakan LDK dengan bimbingan fasilitator. Setiap kumpulan diberikan 5 hingga 10 soalan untuk dibincangkan dan dibentangkan, sekali gus memberi ruang kepada peserta mencari jawapan serta memperkukuh kefahaman melalui bimbingan fasilitator.

Sesi petang diteruskan selepas solat Zohor dengan Modul Fiqah dan Tasawuf yang dikendalikan oleh para fasilitator. Modul Fiqah memberi penekanan kepada praktikal wuduk dan solat, manakala Modul Tasawuf memfokuskan pembentukan akhlak melalui pengenalan kepada sifat mahmudah dan mazmumah.

Program diakhiri dengan pengisian borang maklum balas melalui Google Form serta latihan bagi menguji kefahaman peserta terhadap pengisian yang telah disampaikan. Secara keseluruhannya, Mihrab 3.0 memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh melalui penggabungan ilmu Al-Quran, Tauhid, Fiqah dan Tasawuf dalam membentuk kefahaman serta penghayatan agama dalam kehidupan seharian.