Fasa kedua di rumah BAKAT Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 12 September 2026Fasa kedua di rumah BAKAT Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 12 September 2026

Oleh: Siti Wan Aminah Wan Norudin

KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2026 – Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan inisiatif berimpak tinggi dengan menjayakan Projek Perundingan Keibubapaan Anak Berkeperluan Khas bersasar bagi ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat.

Selepas kejayaan fasa pengenalan terdahulu, perundingan tajaan sepenuhnya oleh Affin Islamic Bank Berhad ini kini beralih fokus kepada pelaksanaan fasa kedua dan fasa ketiga.

Pelaksanaan fasa kedua yang berlangsung pada 12 September 2026 ini telah melibatkan penyertaan 14 keluarga ahli BAKAT Darat yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Kumpulan ibu bapa ini telah mengikuti sesi Konsultasi Bersemuka bertempat di Rumah BAKAT Darat, Kem Perdana Sungai Besi.

Sesi ini dikendalikan oleh barisan pakar perunding CIRCLE meliputi kepakaran dalam bidang psikologi pendidikan, terapi pertuturan dan bahasa, serta terapi cara kerja.

Pelaksanaan telehealth@CIRCLE UPSI secara atas talian pada 3 Oktober 2026.
Pelaksanaan telehealth@CIRCLE UPSI secara atas talian pada 3 Oktober 2026.
Pelaksanaan telehealth@CIRCLE UPSI secara atas talian pada 3 Oktober 2026.

Penglibatan pakar-pakar ini memberi ruang khusus kepada ibu bapa untuk membawa isu yang lebih terperinci dan berbincang secara langsung supaya setiap cadangan sokongan dan intervensi dapat disesuaikan dengan konteks keperluan unik anak-anak dan keluarga masing-masing.

Bagi memastikan keberkesanan dan kelangsungan intervensi tersebut, program ini diteruskan dengan fasa ketiga pada 3 Oktober 2026 menerusi sesi Konsultasi Susulan menggunakan pendekatan tele-health atau secara atas talian.

Menerusi fasa ini, kepakaran pakar psikologi pendidikan, terapis pertuturan dan bahasa, serta terapis cara kerja terus dimanfaatkan bagi memantau secara dekat tahap perkembangan anak-anak istimewa tersebut. Selain itu, sesi ini memfokuskan kepada usaha mengenal pasti sebarang bentuk kekangan yang mungkin dihadapi oleh ibu bapa ketika melaksanakan aktiviti sokongan di rumah (home activity).

Menerusi perundingan strategik berfasa ini, pihak UPSI terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan kepakaran universiti secara terus kepada komuniti.

Inisiatif padu ini dijangka mampu memberikan pengetahuan dan kefahaman yang lebih tersusun kepada keluarga ahli BAKAT Darat dalam mengurus keperluan anak-anak istimewa secara mampan dan menyeluruh.