Oleh : Nayli Insyirah Azahar
TANJONG MALIM, 30 September 2026 — Campus Election Organization (CEO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Sesi Townhall Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2026/2027 bertempat di Dewan Kuliah Pusat 5 (DKP 5) bagi memberikan penerangan bersemuka dan maklumat terperinci mengenai proses pemilihan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Program yang bermula pada jam 8.30 malam itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran wakil daripada pelbagai persatuan dan badan pelajar di UPSI. Kehadiran kepimpinan serta wakil mahasiswa ini mencerminkan sokongan padu pimpinan pelajar dalam menyemarakkan proses demokrasi di peringkat universiti.
Sesi tersebut membentangkan penjelasan khusus berkaitan tatacara Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2026/2027 yang disampaikan secara terperinci oleh Pengerusi Suruhanjaya Pemilihan MPP, Nur Annisa Aisyah Binti Azlin@Azalin. Dalam pembentangan tersebut, beliau menekankan garis panduan utama pemilihan, etika berkempen, serta persediaan penting yang perlu difahami oleh seluruh warga mahasiswa, terutamanya mereka yang berhasrat untuk bertanding sebagai calon mahupun yang bakal melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.



Beliau turut menyeru seluruh mahasiswa UPSI agar menunjukkan penglibatan aktif sepanjang proses ini demi meningkatkan peratusan keluar mengundi, sekali gus memastikan kepimpinan MPP yang dipilih benar-benar mewakili aspirasi mahasiswa. Mahasiswa juga diingatkan supaya sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.
Bagi memantapkan kefahaman peserta, sesi ini turut menyediakan ruang soal jawab secara langsung serta kaedah imbasan kod QR ( QR Code FAQ Pemilihan MPP ). Kemudahan imbasan kod QR ini memberi akses mudah kepada mahasiswa untuk menyemak soalan-soalan lazim serta mengemukakan sebarang persoalan berkaitan perjalanan pemilihan.
Penganjuran Townhall ini membuktikan komitmen CEO UPSI dalam menyediakan platform komunikasi yang telus, terbuka, dan inklusif demi menyokong kelancaran serta ketelusan Pemilihan MPP Sidang 2026/2027.
