IPOH, 8 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kejayaan apabila tiga orang warganya berjaya meraih pengiktirafan dalam Pertandingan Pidato sempena Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak Tahun 2026.
Kejayaan tersebut berlangsung bersempena Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya Negeri Perak Tahun 2026 yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada 8 Oktober 2026.
Menerusi pertandingan tersebut, Ruqshana binti Mohamed Rashid, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pendidikan), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), UPSI, berjaya meraih tempat pertama.
Tempat kedua pula diraih oleh Aizat Muqriz bin Mustafa, pelajar Program Diploma Perakaunan, Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah.
Turut mencatatkan kejayaan ialah Nur’hamizah binti Abdul Rahman, pelajar Program Doktor Falsafah Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI, yang berjaya memperoleh tempat ketiga.
Sementara itu, Mohd Shafiq bin Badarulhisham, pelajar Sarjana Pendidikan (Multimedia), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), UPSI, turut menerima Anugerah Saguhati dalam pertandingan tersebut.
Pencapaian para peserta ini membuktikan bahawa golongan OKU mempunyai bakat, potensi dan keupayaan yang tinggi untuk menyerlah dalam pelbagai bidang, termasuk komunikasi, kepimpinan serta penyampaian idea.
Pertandingan pidato ini juga menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keupayaan golongan OKU, di samping mengetengahkan kepentingan keterangkuman, kesaksamaan dan peluang yang sama kepada semua lapisan masyarakat.



Kejayaan tiga warga UPSI dalam pertandingan tersebut turut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa dan memberi ruang kepada golongan OKU untuk mengetengahkan bakat serta potensi diri di peringkat yang lebih luas.
Pencapaian ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada warga universiti dan masyarakat keseluruhannya bahawa keterbatasan bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan. Sebaliknya, dengan peluang, sokongan dan keyakinan diri, setiap individu mampu mengukir kejayaan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas pencapaian yang membanggakan dalam Pertandingan Pidato sempena Bulan Kesedaran OKU Negeri Perak Tahun 2026.
