Oleh : Mohd Raizol Ramli
TANJONG MALIM, 10 Oktober 2026 – Dalam usaha mewujudkan persekitaran kampus yang sihat dan selamat, Kolej Kediaman Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Gotong-Royong Pencegahan Denggi yang melibatkan komitmen padu serta semangat kesukarelawanan para pelajar hari ini.
Program yang berlangsung dari jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengah hari itu menumpukan kepada aktiviti pembersihan menyeluruh dan pembasmian tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kawasan kolej kediaman serta fasiliti kampus.
Menerusi inisiatif ini, para pelajar bergiat aktif mengesan dan memusnahkan kawasan takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik, sekali gus dapat memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes secara berkesan.
Pengetua Kolej Za’ba, Encik Yusop Ahmad berkata, penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menjaga kebersihan fizikal, malah menjadi medan penting untuk memupuk keperihatinan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan warga kolej.
“Program gotong-royong seperti ini amat penting dalam memastikan Kolej Kediaman Za’ba sentiasa dalam keadaan selamat, bersih dan kondusif untuk para pelajar. Selain dapat membasmi ancaman penyakit bawaan vektor seperti denggi, program ini juga menjadi platform terbaik untuk menyemai nilai kepimpinan, disiplin, dan kerja berpasukan menerusi semangat kesukarelawanan,” kata beliau.



Inisiatif yang turut digerakkan oleh para pelajar Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UPSI ini terbukti berjaya memupuk budaya kebersihan persekitaran serta memperkasakan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan yang prihatin terhadap kesejahteraan awam.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai matlamatnya dalam menyokong agenda kesihatan awam universiti. Komitmen berterusan seperti ini membuktikan peranan UPSI yang bukan sahaja fokus kepada kecemerlangan akademik, malah berterusan melahirkan graduan yang berdisiplin, prihatin, dan berjiwa masyarakat.

