BANGI, 24 Oktober 2026 – Kumpulan kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Destar Limar, terus melakar kejayaan membanggakan apabila merangkul gelaran Naib Johan (Kategori Institusi Pengajian Tinggi) dalam pertandingan Festival Tari Kebangsaan 2026 (FeSTA ’26) yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. 

Tidak hanya cemerlang menerusi gerak tari, kumpulan ini turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Busana Terbaik (Kategori IPTA/S) Emas, sekali gus mempamerkan kehebatan kebudayaan dan estetika pakaian tradisional yang dipersembahkan. 

Menerusi pencapaian sebagai Naib Johan, kumpulan Destar Limar membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500, trofi, cek cura, sijil Naib Johan berserta sijil penyertaan.

Seluruh persediaan dan keharmonian persembahan kumpulan ini dipimpin dan diuruskan oleh En. Alif bin Azizi yang bertindak selaku Pegawai Pengiring serta koreografer. Komitmen serta kreativiti beliau bersama para penari terbukti berjaya memikat hati para juri pada festival peringkat kebangsaan itu. 

Penglibatan aktif dan kejayaan ini membuktikan iltizam tinggi warga UPSI dalam memelihara, memartabatkan, serta meremajakan seni tari warisan bangsa di persada kebangsaan. Kejayaan ini juga diharap dapat menjadi penaik semangat dan inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus aktif memupuk kecintaan terhadap seni budaya tanah air. 

Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan aktiviti seni dan kebudayaan UPSI boleh melawati saluran media sosial rasmi Pusat Kebudayaan UPSI di Facebook, Instagram (kebudayaan.upsi), TikTok, serta laman web rasmi kebudayaan.upsi.edu.my.