Oleh: Aisyatul Adriana Muamar Gadaffi

Tanjong Malim, 31 Oktober 2026 —Exco blok kediaman 3, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sidang 2026/2027, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Irama Ceria yang telah disertai seramai 430 orang penghuni yang terdiri daripada mahasiswi UPSI khususnya penghuni kolej KHAR yang bertempat di Dewan Kolej Harun Aminurrashid.

Program ‘Irama Ceria: Satu Rentak, Pelbagai Warna’ ini merupakan program berbentuk riadah secara santai yang berkonsepkan zumba diiringi muzik dan pergerakan. Program yang penuh energetic ini menjadi platform kepada penghuni kolej siswi dalam mengamalkan amalan gaya hidup sihat yang aktif selain memupuk nilai sahsiah diri yang positif. Badan yang aktif menjadikan minda yang sihat dan mampu membentuk personaliti diri yang menawan bagi seorang pelajar siswi.

Selain itu, program ini juga menjadi satu platform kepada para penghuni dalam mengurangkan tekanan dengan tugasan akademik sepanjang semester ini berlangsung. Pada masa sama, program ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama penghuni dari pelbagai latar belakang seterusnya mempromosikan platform untuk mengukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum bawah satu bumbung dan penglibatan yang sama.

Antara pengisian program ini ialah aktiviti senamrobik dan juga dance challenge yang sangat fun dan trendy antara AJK pelaksana dan juga peserta yang hadir. Penganjur juga turut menjemput satu kumpulan khusus untuk memimpin aktiviti zumba dengan iringan muzik yang rancak dan lebih menghiburkan.

Pendekatan yang dilaksanakan secara tidak langsung dapat menambah keyakinan dan juga motivasi mereka untuk terus melakukan aktiviti kecergasan tanpa mengira sebarang kebolehan yang ada.

Program Irama Ceria ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Puan Norrulkamari Daud, selaku Penasihat Program merangkap Felo Blok Kediaman 3 KHAR. Melalui ucapan perasmian, beliau mencetuskan rasa gembira atas penyertaan yang sangat ramai dan program ini mendapat sambutan yang sangat baik khususnya dari kalangan siswi KHAR walaupun program ini dilaksanakan  pada cuti hujung minggu namun peluang yang dimanfaatkan oleh penghuni amat memberi kesan yang positif buat mereka. Oleh yang demikian, pelbagai program yang menarik akan dilaksanakan khususnya buat penghuni KHAR. Lagi ramai, lagi meriah, katanya lagi.

Selain itu, pengarah Program merangkap Timbalan Ketua Blok, Nur Damia Izzati Mohd Zaki mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudi hadir memeriahkan program. Tidak dilupakan juga kepada Ketua blok dan seluruh AJK Pelaksana yang banyak membantu bermula dari proses merancang, menguruskan persiapan dan melaksanakan pada hari program berlangsung.

Program berakhir dengan suasana yang penuh ceria dan meriah daripada penghuni yang hadir. Kebanyakan penghuni memberikan feedback yang positif berkenaan program yang dilaksanakan terutamanya penggunaan lagu yang rancak, lebih trendy dan sesuai dengan pergerakan yang dipersembahkan. Pergerakan yang ditonjolkan juga agak mudah diikuti yang membuatkan mereka rasa seronok untuk turut serta bersama-sama.

Penglibatan yang aktif dan komitmen yang diberikan oleh kedua-dua pihak, AJK Pelaksana dan juga peserta yang hadir pada malam tersebut dapat membuktikan bahawa program yang dirancang mampu memberikan impak yang yang positif kepada peserta khususnya bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental penghuni KHAR.

Diharapkan program sebegini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang dengan pendekatan yang lebih menarik dan juga penganjuran yang menggalakkan lebih ramai lagi penyertaan serta penambahbaikan dari segi penganjuran agar pengalaman yang diberikan akan menjadi lebih bermakna dan mampu meninggalkan memori indah kepada semua.

Secara keseluruhannya, Program ‘Irama Ceria’ ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam membentuk nilai positif dalam diri penghuni KHAR dan menyediakan platform riadah yang seronok serta menarik buat penghuni siswi untuk turut serta dalam program yang dianjurkan. Namun, setiap cadangan dan penambahbaikan daripada peserta akan diperbaiki dan dipertingkatkan untuk program-program yang akan datang.