YB Sebator Dr. Jufitri Joha menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada Hafiz setelah memperoleh Top 3 dalam program ini.

Oleh: Hafiz Abd Manap

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2026 – Dua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohamad Hafiz Saffar dan Anis Ellyana Junaidi, mengharumkan nama universiti apabila layak sebagai finalis dan menamatkan saingan dalam kalangan tiga terbaik pertandingan anjuran Bina Malaysia melalui Project Lindung Ambassador, yang berlangsung di Menara KL33 hari ini. Hadiah disampaikan oleh YB Senator Dr. Jufitri Joha, Ahli Dewan Negara.

Hafiz, pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Perisian, ialah Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar serta Pengerusi Majlis Yang Dipertua Mahasiswa Kolej-Kolej Kediaman UPSI, manakala Anis Ellyana, pelajar tahun ketiga Pendidikan Perniagaan, memegang jawatan Bendahari Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar. Kedua-duanya merupakan Duta Project Lindung yang aktif dalam organisasi tersebut, dan mewakili Kumpulan 5 (AEGIS) bersama Nur Alya Nabilah serta Muhammad Shazamy.

Hafiz tampil sebagai pembentang finalis pasukan, satu kedudukan yang melalui proses pemilihan kerana hanya seorang pembentang terbaik daripada setiap pasukan dipilih untuk membentangkan hasil kerja di peringkat akhir. Beliau membentangkan projek SafeClicks Rural Tour yang dilaksanakan di luar bandar Perak pada 9 hingga 11 Oktober 2026. Projek ini menerangkan risiko eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian, selain melatih peserta mengenal pasti lima tanda amaran grooming dan mempraktikkan kerangka tindak balas selamat, iaitu Listen, Reassure, Protect, Report, Refer, melalui penceritaan interaktif dan stesen analisis perbualan.

Impaknya jelas apabila projek ini menjangkau 125 peserta dan merekodkan peningkatan 85 peratus dalam keputusan kuiz pasca-program. Pendekatan ini turut membantu golongan muda yang terdedah kepada risiko agar tidak menyalahkan diri sendiri. Walaupun jerebu teruk memaksa aktiviti luar dipindahkan ke dalam bangunan, pengalaman tersebut menegaskan keperluan modul pendidikan yang berasaskan luar talian dan mudah dibawa.

Kejayaan ini memberi manfaat kepada UPSI dengan mengangkat reputasi universiti sebagai institusi yang melahirkan graduan berjiwa masyarakat, di samping memperkukuh budaya khidmat komuniti dalam kalangan mahasiswa. Bagi komuniti setempat, program ini membawa pendidikan keselamatan dalam talian ke kawasan luar bandar, dan poster lima peringkat yang ditinggalkan di sekolah-sekolah terlibat akan terus menjadi rujukan sepanjang tahun.

Project Lindung ialah program kesedaran keselamatan dalam talian dan pemerdayaan seksual kanak-kanak anjuran Bina Malaysia untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun. Program ini mengambil kira peningkatan kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak di Malaysia sebanyak 58.1 peratus antara 2022 dan 2024, dan telah menjangkau lebih 500 pelajar di Malaysia serta Indonesia.