Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid
TANJONG MALIM, 31 Oktober 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari telah menganjurkan Program LADAP SMK Khir Johari bertemakan “IGNITE & RESET: Empowering Educators Through Motivation, Emotional Wellness & Resilience” bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI.
Program ini merupakan inisiatif Pusat Kaunseling UPSI dalam memperkukuh kesejahteraan psikologi warga pendidik melalui pendekatan motivasi, kesedaran emosi, pengurusan tekanan dan pembinaan daya tahan diri. Pelaksanaan program ini turut menyediakan ruang kepada guru untuk melakukan refleksi kendiri, meningkatkan kefahaman tentang kesihatan mental serta meneroka strategi penjagaan diri dalam menghadapi tuntutan profesion keguruan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee, yang turut menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi dan pembangunan profesional warga pendidik melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini melibatkan seramai 81 orang guru SMK Khir Johari. Program ini diketuai oleh En. Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid, Pegawai Tadbir N9 (Kaunseling), selaku Pengarah Program, manakala slot ceramah telah disampaikan oleh En. Ahmad Shazwi bin Ahmad Shukri, Pegawai Tadbir N10 (Kaunseling).
Pengisian utama program merangkumi empat komponen, iaitu IGNITE: Rediscovering Your Purpose as an Educator, yang memberi penekanan kepada pembaharuan motivasi dan tujuan dalam profesion keguruan; UNDERSTAND: Understanding Your Emotional Landscape, yang membantu peserta memahami emosi dan kesannya terhadap kesejahteraan diri; MASTER: Mastering Emotions Under Pressure, yang memberi fokus kepada pengurusan emosi ketika berhadapan dengan tekanan; serta RISE & RESET: Building Resilience and Personal Wellbeing, yang menekankan kepentingan membina daya tahan dan mengamalkan penjagaan kendiri.
Melalui pengisian tersebut, peserta didedahkan kepada kepentingan mengenal pasti tekanan dalam persekitaran kerja, memahami tindak balas emosi serta mengaplikasikan strategi pengurusan diri yang bersesuaian dengan realiti tugas sebagai seorang pendidik. Pendekatan ini diharapkan dapat membantu guru mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab profesional dengan kesejahteraan peribadi.
Selain pengisian ceramah, program turut diserikan dengan aktiviti BOWLING CHALLENGE: Team Spirit, Connection & Fun yang berlangsung pada sebelah petang di UPSI Bowling. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dalam suasana tidak formal, mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja serta memupuk semangat kerjasama dan berpasukan. Gabungan pengisian psikologi dan aktiviti rekreasi ini menjadikan program lebih menyeluruh dengan memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan emosi dan sosial.
Maklum balas peserta menunjukkan penerimaan yang sangat positif terhadap pelaksanaan program. Berdasarkan 70 respons yang diterima melalui borang penilaian, kesemua responden (100%) menyatakan bahawa program mencapai objektif dan memberikan manfaat kepada mereka. Selain itu, seramai 68 responden (97.1%) menyatakan kesediaan untuk mencadangkan program seumpamanya kepada rakan-rakan pada masa hadapan.
Antara pengisian yang mendapat perhatian peserta ialah perkongsian berkaitan kesihatan mental. Seorang peserta menyatakan, “Kesihatan mental membuka mata saya untuk mengenalpasti simptom penyakit mental & cara untuk bertenang.” Maklum balas ini memperlihatkan kepentingan pendedahan berkaitan kesihatan mental dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga pendidik terhadap kesejahteraan psikologi.
Aktiviti berkumpulan seperti Botol dan Tali turut mendapat perhatian kerana menggalakkan kerjasama dan komunikasi dalam kalangan peserta. Seorang peserta berkongsi bahawa aktiviti tersebut memberikan banyak input, khususnya berkaitan “kerjasama, keyakinan, kesabaran dan lain-lain.” Pengalaman ini menunjukkan bahawa aktiviti interaktif turut berperanan dalam membina kemahiran interpersonal dan semangat berpasukan.
Secara keseluruhan, pengalaman peserta turut digambarkan melalui maklum balas seorang guru yang menyifatkan program ini sebagai “menarik, bermanfaat, berinformasi dan menyeronokkan.” Terdapat juga cadangan daripada peserta agar program akan datang memperbanyakkan aktiviti berbentuk praktikal, teknik relaksasi dan pengisian berkaitan pengurusan tekanan serta kesejahteraan psikologi. Maklum balas ini menjadi input berguna kepada pihak penganjur dalam menambah baik reka bentuk dan pendekatan program pada masa hadapan.



Secara keseluruhannya, Program LADAP SMK Khir Johari mencerminkan kepentingan pendekatan kesejahteraan psikologi yang bukan sahaja memberi penekanan kepada pengetahuan dan kesedaran, malah menyediakan ruang kepada guru untuk berinteraksi, melakukan refleksi kendiri dan membina hubungan sosial yang positif. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan persekitaran kerja yang lebih sihat serta menyokong kesejahteraan warga pendidik secara berterusan.
Pusat Kaunseling UPSI merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee, pihak SMK Khir Johari, En. Ahmad Shazwi bin Ahmad Shukri selaku penceramah, semua peserta dan jawatankuasa pelaksana atas kerjasama serta sokongan dalam menjayakan program ini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya kesejahteraan psikologi dan penjagaan kendiri dalam kalangan warga pendidik.

