Oleh: Ariz Mohd Fadzli
TANJONG MALIM, 1 NOVEMBER 2026 – Kepelbagaian budaya terus diraikan sebagai wahana penyatuan mahasiswa menerusi penganjuran Deepavali: The Festival of Lights 2026 peringkat Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang berlangsung meriah di perkarangan Kafeteria Kolej Ungku Omar.
Program anjuran Exco Uniti dan Diversiti Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) KUO dengan kerjasama Persatuan Bahasa Tamil UPSI ini mengetengahkan penghayatan warisan dan tradisi masyarakat India melalui pelbagai aktiviti interaktif yang memberikan pengalaman bermakna kepada para pengunjung. Antara pengisian utama termasuklah aktiviti penghasilan kolam yang menampilkan kehalusan seni dan kreativiti, seni lukisan henna, pengenalan busana tradisional masyarakat India, pameran peralatan adat dan budaya, sajian makanan tradisional serta reruai pengenalan tulisan India.
Keunikan pengisian tersebut bukan sekadar memberikan pendedahan terhadap keindahan tradisi masyarakat India, malah membuka ruang interaksi silang budaya yang membolehkan mahasiswa mengenali, memahami dan menghayati kepelbagaian warisan secara lebih dekat. Pengalaman ini secara tidak langsung menyemai nilai keterbukaan, toleransi dan rasa hormat terhadap perbezaan budaya yang menjadi asas pembinaan masyarakat majmuk yang harmoni.
Dalam ucapannya, Pn. Siti Norhuda Md Ali, Ketua Felo KUO, menegaskan bahawa kepelbagaian latar belakang dan budaya dalam kalangan mahasiswa merupakan satu keistimewaan yang perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati dan memahami. Perpaduan tidak terbina hanya melalui slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi interaksi, keprihatinan dan kesediaan setiap individu menerima perbezaan sebagai kekuatan bersama.
Majlis perasmian dan penutupan program telah disempurnakan oleh En. Muhamad Hafiz Abd Manap yang menekankan bahawa mahasiswa berperanan sebagai duta keharmonian yang perlu mendukung nilai inklusiviti, kesantunan dan persefahaman dalam kehidupan bermasyarakat. Penghayatan budaya seperti ini sewajarnya diperluas kerana universiti bukan sahaja menjadi medan pengembangan ilmu, malah ruang pembentukan jati diri, kematangan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.



Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Saudari Nur Qamarina Ahmad Fatdhly, bersama barisan jawatankuasa pelaksana ini membuktikan bahawa inisiatif berteraskan kebudayaan mampu menjadi medium pendidikan tidak formal yang berkesan dalam memperkukuh jaringan persahabatan serta keharmonian warga kolej.
Deepavali bukan sekadar menyinari keindahan perayaan, tetapi turut membawa makna yang lebih mendalam tentang harapan, persefahaman dan penyatuan. Melalui penganjuran ini, KUO terus memperkukuh aspirasi melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, malah memiliki jiwa yang menghargai kepelbagaian serta menjunjung tinggi nilai perpaduan.

