Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff (tengah) bersama Profesor Dr. Nor Khalid Salimin , Dr. Sakinah Salleh dan semua peserta UA-ICE 4.0 dan IKON UA 8.0 pada penganjuran UA-ICE 4.0 dan Misi Pencarian Ikon Ulul Albab Malaysia 8.0.

Oleh: Nor Hayati Aziz

TANJONG MALIM, 31 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan holistik dan inovasi berteraskan nilai menerusi penganjuran Ulul Albab Innovation Competition and Exhibition (UA-ICE 4.0) serta Misi Pencarian Ikon Ulul Albab Malaysia 8.0 yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Kumpulan AIMT-MR dari Politeknik Banting dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Keseluruhan UA-ICE 4.0, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan menghasilkan inovasi yang menepati aspirasi pendidikan berteraskan model Ulul Albab.

Penganjuran UA-ICE 4.0 berjaya menghimpunkan 93 penyertaan dari empat negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand, dengan 85 penyertaan secara bersemuka dan lapan secara dalam talian. Penyertaan melibatkan tiga kategori utama, iaitu pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta ahli akademik dan penyelidik, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian idea, kepakaran dan pengalaman dalam memperluas jaringan inovasi di peringkat antarabangsa.

Majlis perasmian serta penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (HEP & A) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin.

Menurut Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, Pencarian IKON Ulul Albab 8.0 merupakan kesinambungan usaha melahirkan generasi pelapis yang mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam melalui penguasaan ilmu, penghayatan wahyu, penyelidikan, inovasi dan akhlak.

Beliau berkata, penerapan konsep Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI) menjadi asas penting dalam membentuk individu yang bukan sahaja cemerlang dalam keilmuan, malah berupaya memimpin dengan hikmah, menjadi teladan serta menyumbang kepada kesejahteraan ummah.

“Usaha mengembalikan kegemilangan tamadun Islam bukan sekadar mengenang sejarah silam, sebaliknya menuntut pembaharuan pemikiran, pemerkasaan ilmu dan keberanian mencipta penyelesaian baharu. Generasi Ulul Albab perlu membawa semangat islah dan tajdid dalam membina masa hadapan ummah,” katanya.

Dalam pertandingan UA-ICE 4.0, kategori sekolah menyaksikan kumpulan Suka Jawi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mas, Kota Tinggi Johor muncul sebagai johan, diikuti kumpulan Stay Tawaqal dari Phatna Withya School, Thailand sebagai naib johan dan Turian Manhaj, juga dari Phatna Withya School, Thailand di tempat ketiga.

Bagi kategori pelajar IPT dan institut kemahiran, kumpulan SMARTLEX dari UPSI meraih johan, manakala SMART I-KOM memperoleh tempat kedua dan Pasukan Catalysts di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi kategori ahli akademik dan penyelidik, kumpulan AIMT-MR dari Politeknik Banting muncul sebagai johan, diikuti Team Moshi Mohsyi di tempat kedua dan Edu-Solat dari Universiti Utara Malaysia (UUM) di tempat ketiga.

Selain pertandingan inovasi, Misi Pencarian Ikon Ulul Albab Malaysia 8.0 turut mendapat sambutan dengan penyertaan sebanyak 96 peserta, terdiri daripada 67 peserta kategori sekolah dan 29 peserta kategori IPT. Daripada jumlah itu, 10 finalis terbaik berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, masing-masing lima peserta bagi kategori sekolah menengah dan lima peserta kategori IPT.

Pertandingan berkenaan memberi penekanan kepada penguasaan tiga dimensi utama model Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI), yang menjadi asas dalam membentuk generasi berilmu, berfikiran kritis, kreatif serta mempunyai pegangan nilai yang kukuh.

Bagi kategori sekolah menengah, Syed Ammar Mikael bin Sy Hamimie Faiz dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra dinobatkan sebagai johan, manakala Muhammad Zikree bin Muhammad Chukree dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Besut memperoleh naib johan. Tempat ketiga disandang Zainab binti Hassan dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Marang.

Bagi kategori IPT pula, Nur Athilah Batrisyia binti Mohd Ekmal dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai johan, diikuti Nur Hazimah binti Mazlan dari UPSI sebagai naib johan. Tempat ketiga diraih Nurul Umairah Ridhuana binti Mohd Asri dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darul Aman.

Tiga anugerah khas turut disampaikan bagi mengiktiraf kecemerlangan peserta dalam setiap dimensi QEI. Muhammad Zikree bin Muhammad Chukree menerima Anugerah Terbaik Quranik, Syed Ammar Mikael bin Sy Hamimie Faiz meraih Anugerah Terbaik Ensiklopedik, manakala Nur Athilah Batrisyia binti Mohd Ekmal menerima Anugerah Terbaik Ijtihadik.

Penilaian pertandingan dikendalikan oleh tiga juri yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, iaitu Ustaz Muhammad Azizi bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (Ulul Albab) MARA bagi dimensi Quranik, Dr. Siti Nur Amalina binti Ahmad Tajuddin bagi dimensi Ensiklopedik dan Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob bagi dimensi Ijtihadik.

Pemenang pertandingan Ikon Ulul Albab bagi setiap kategori turut menerima hadiah wang tunai, dengan johan membawa pulang RM1,000.00, naib johan RM800 dan tempat ketiga RM500. Peserta yang memperoleh tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM100 sebagai hadiah saguhati.

Penerapan tiga dimensi QEI turut menjadi tunjang kepada penganjuran UA-ICE 4.0 apabila peserta digalakkan menghasilkan inovasi yang bukan sahaja menonjolkan kreativiti dan kecanggihan teknologi, malah berpandukan nilai, penguasaan ilmu serta keupayaan menyelesaikan permasalahan semasa. Elemen Quranik membentuk asas nilai dan etika, Ensiklopedik memperluas penguasaan ilmu, manakala Ijtihadik mengasah kemampuan berfikir secara kritis dan mencari penyelesaian secara kreatif.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff (tengah)
menyempurnakan perasmian Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA-ICE 4.0) di Dewan SITC, UPSI, Tanjong Malim.

Gabungan kedua-dua program ini memperlihatkan pendekatan UPSI melalui Pusat Ulul Albab dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan teknologi, malah memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan dan jati diri generasi muda.

Melalui platform seumpama ini, UPSI terus membuka ruang kepada pelajar sekolah, mahasiswa, pendidik, ahli akademik dan penyelidik untuk berkongsi kepakaran, mengembangkan potensi serta membina jaringan kerjasama merentasi institusi dan negara. Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, malah mempunyai nilai, kreativiti dan keupayaan untuk membawa perubahan positif kepada agama, masyarakat dan negara.