Oleh: Farah ‘Aqilah Fa’iz

Tanjong Malim, 2 November 2026 – Dalam usaha memupuk kreativiti dan mengembangkan bakat seni dalam kalangan pelajar, Exco Blok Kediaman 4, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2026/2027 telah menganjurkan Program Lakar Jiwa: “Seni dari Hati”. Program ini bertujuan memberikan peluang kepada peserta untuk menzahirkan kreativiti dan bakat seni melalui aktiviti melukis dan mewarna.

 Program ini terbuka kepada semua penghuni KHAR, khususnya mereka yang berminat dalam bidang seni. Peserta diberikan pilihan untuk menggunakan beg atau papan kanvas sebagai medium penghasilan karya. Mereka bebas menghasilkan lukisan berdasarkan kreativiti dan imaginasi masing-masing sebelum mewarnainya menggunakan cat air. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan ekspresi diri, malah memberikan pengalaman seni yang menyeronokkan kepada para peserta.

 Program ini bermula dengan pendaftaran peserta sebelum aktiviti melukis dan mewarna dilaksanakan. Majlis turut dihadiri oleh Felo Blok Kediaman 4, YBrs. Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim, serta Pengetua KHAR, YBrs. Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah. Acara dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan oleh Pengarah Program, Saudari Tuan Nur Afizah binti Tan Besar, serta ucapan perasmian oleh Pengetua KHAR. Majlis kemudiannya diserikan dengan sesi fotografi sebelum para peserta mengikuti aktiviti utama yang telah dirancang.

Ucapan daripada Pengarah Program, Tuan Nur Afizah binti Tan Besar
Ucapan perasmian daripada Pengetua Kolej, Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah
Sesi fotografi

 Sebelum aktiviti bermula, para peserta diberikan taklimat tentang tatacara pelaksanaan program. Mereka kemudiannya memulakan sesi melukis dan mewarna menggunakan cat air pada beg atau papan kanvas yang telah dipilih. Suasana santai dan ceria sepanjang aktiviti berlangsung memberikan ruang kepada para peserta untuk berkarya secara bebas, di samping mengetengahkan idea dan kreativiti masing-masing.

Secara keseluruhannya, Program Lakar Jiwa: “Seni dari Hati” diharapkan dapat menyemai minat terhadap seni serta memperkembangkan kreativiti dalam kalangan pelajar. Selain menjadi wadah untuk menzahirkan bakat dan idea, program ini turut memberikan peluang kepada peserta untuk merehatkan minda daripada kesibukan akademik.