IMG_2157

UPSI, 24 Feb. 2015 – Bagi membudayakan keusahawanan kepada golongan mahasiswa serta alternatif untuk menambah pendapatan, Majlis Perwakilan Pelajar sidang 2015/2016 dengan kerjasama Kolej Ungku Omar serta Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Perak buat pertama kalinya mengajurkan Karnival Keusahawanan dan Belia Peringkat UPSI pada 22 hingga 25 Februari 2016 bertempat di Perkarangan Kolej Ungku Omar.

Menurut, Pengarah JASA Negeri Perak, Tuan Haji Mohd Abd Rahim Mohamed Nawawi, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan peluang kepada masyarakat untuk menjadi usahawan.

“Di negeri Perak, kerajaan menyediakan peluang perniagaan melalui pelbagai agensi seperti Agensi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan yang menyediakan Skim Mikro Kredit, Kios Aman Jaya, Gerai Burger dan lain-lain selain pinjaman melalui Tekun dan Mara,” katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan mahasiswa UPSI menggunakan pengalaman menganjurkan karnival itu sebagai pemangkin untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan sekaligus merebut pelbagai peluang yang ada.

DSC_0201DSC_0204

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar merangkap Pengarah Program Karnival Keusahawanan dan Belia UPSI 2016, Syahmi Aiman  Sulaiman berkata, matlamat penganjuran karnival adalah bagi membantu mahasiswa mahasiswi mendapat maklumat tentang keusahawanan dan sama ada dasar belia Malaysia ataupun bantuan yang wujud untuk menjadi seorang usahawan.

Turut diadakan Forum Ilmiah: Keusahawanan dan Belia, menampilkan Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias sebagai moderator,  dan Ahli Senator Dewan Negara Merangkap Pengerusi Yayasan Minda, Senator Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Syah serta Ketua Pegawai Eksekutif Al-Meswak Mu’Min Sdn Bhd, Dato Haji Zaihal Hazri Haji Abdul Halim sebagai panel, dan Talk Show Bersama Ikon Keusahawanan : “ Keusahawanan Menjamin Masa Depan Atau Tidak?” menampilkan panel Pengarah Urusan Jana Tanmia Resources Sdn Bhd, Hj. Mohd Zaidi Ilamdin dan Pengerusi Kumpulan Syarikat Al-Araby, Ahmad Sani  Abdul Alim Araby.

Artikel ini diterbitkan pada 23 Februari 2016

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan