Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 26 April – Pasukan Debat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dinobatkan Johan, Pertandingan Debat Kenegaraan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pasukan Debat UPSI berjaya menewaskan Pasukan Debat dari Universiti Teknologi Petronas (UTP). Dengan Usul “Jika Saya Perdana Menteri Malaysia, Reformasi Kabinet Akan Disegerakan”. Pasukan debat UPSI diwakili oleh Ku Mohd. Syafiq Ku Fozi dan Canigia Udin Anak Ben, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu.
Menurut Ku Syafiq, “Kami bersyukur atas kemenangan ini kerana untuk melepasi setiap saringan bukanlah semudah yang disangkakan kerana memerlukan ketekunan membuat kajian, rajin meneroka sesuatu isu dan cuba berfikir secara kritis. Sudah semestinya kami berharap agar pasukan debat UPSI terus konsisten dalam melakar kejayaan pada masa akan datang.” Pertandingan tersebut telah berlangsung selama 4 hari, 3 malam dan berjaya menghimpunkan pendebat universiti seluruh Malaysia.
Pasukan UPSI yang menjadi Johan sulung bagi pertandingan tersebut membawa pulang piala pusingan, hadiah wang tunai RM 1500.00 dan piala iringan. Hadiah disampaikan oleh Tan Sri Panglima Datuk Pandikar Amin Hj. Mulia, Speaker Dewan Rakyat yang turut merasmikan pertandingan tersebut.
Dalam ucapan perasmian, YBhg. Tan Sri Panglima Datuk Pandikar Amin Hj. Mulia berkata, “saya berani nyatakan di sini dua pendebat yang saya dengar tadi, mereka lebih hebat berbahas dalam perbahasan dan berharap agar momentum tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.” Pertandingan tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TNC HEPA) UPSI, YBhg. ACP Kehormat Prof. Madya Dato’ Dr. Junaidi Abu Bakar, dan TNC HEPA UKM YBhg. Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd. Awal.
Oleh: Muhammad Fawiz Bakri
Artikel ini telah diterbitkan pada 27 April 2016.