Tanjong Malim, 26 April-Teknologi dunia tanpa sempadan, menjadikan generasi kini kurang menggunakan kaedah tradisional dalam urusan harian. Justeru, Universiti Pendidikan Sultan Idris mengambil inisiatif menandatangani memorandum perjanjian kerjasama (MoA) dengan Celex Media Sdn. Bhd. bagi penerbitan e-book.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, seiring dengan kecanggihan dunia digital pada masa ini, penerbitan e-book telah menjadi satu trend baharu yang kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau, kerjasama itu bertujuan memberi alternatif kepada masyarakat untuk mengakses buku terbitan UPSI dengan menggunakan teknologi terkini selain menjadikan UPSI sebagai peneraju penerbitan bidang pendidikan di Malaysia.
“Buku-buku terbitan Pejabat Karang Mengarang UPSI akan didigitalkan supaya ia dapat diakses oleh masyarakat di seluruh dunia sekali gus menjadikan UPSI sebagai hub rujukan kepada masyarakat Malaysia dan Asia Tenggara bagi mendapatkan bahan rujukan berkaitan pedagogi dan bahan pendidikan,” katanya.
MoA itu ditandatangani Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Shatar Sabran manakala Celex Media diwakili oleh Pengarah, En. Daniel Loh di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori.
Hadir sama Pendaftar, En. Mohd Faizi Othman, Pengarah PKM, Prof. Madya Dr. Nasir Nayan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Prof. Madya Dr. Rosnidar Mansor dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin.