Semporna, 9 April – Seramai 30 delegasi daripada Kolej Harun Aminurrashid, UPSI telah berkampung di Kampung Balimbang selama empat hari bermula dari 6 hingga 9 April 2018 bagi menjayakan program Jelajah Ilmu Merentas Sabah.
Program yang mendapat kerjasama baik daripada SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah (SMKDHPJ) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Balimbang itu berjaya membawa satu lagi nama baik terhadap universiti amnya dan mahasiswa/i UPSI khususnya dalam konteks berbakti dan kesukarelawan kepada masyarakat.
Menurut Pengetua SMKDHPJ, Pn. Hajah Gambalidah Mohd Hajiri, pihak sekolah amat berbesar hati menerima kunjungan daripada Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, kerana kelainan pembawakan watak dan ciri-ciri istimewa yang ditampilkan oleh mahasiswa/i MMK KHAR dalam setiap aktiviti yang dijalankan bersama pelajar sekolah adalah unik dan mereka mampu menarik minat pelajar dalam setiap slot yang dijalankan, katanya pada majlis penutupan program itu.
Melalui program itu, 10 buah keluarga kurang kemampuan dari Kampung Balimbang telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Syed Ismail Syed Mohamad selaku ketua delegasi.
Selain program bersama masyarakat dan pelajar sekolah, JIMS yang sesuai dengan temanya “Perkongsian Ilmu dan Budaya tanpa Sempadan” itu juga berjaya berkongsi budaya Borneo-Semenanjung melalui slot silang budaya yang diadakan. Turut dijalankan ialah aktiviti pembersihan pantai di Pulau Sibangkat.
Sementara itu, Pengarah Program, Zahid Zainol berkata, program yang dirancang kira-kira sebulan yang lalu, berjaya mencapai objektifnya kerana mampu mewujudkan mahasiswa/i yang peka terhadap dunia sekeliling dan bersedia menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan serta mereka ini layak diiktiraf sebagai bakal pemimpin dan belia harapan negara yang berjaya dalam pelbagai aspek.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia#soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Education University