UPSI, 15 Julai  – Kira-kira 2500 buah pasukan dari sekolah rendah dan menengah dari seluruh pelosok tanah air menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC 2018) Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung pada 14-15 Julai 2018 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor dan Sasbadi Holdings Berhad.

Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah berkata, NRC 2018 adalah antara program kokurikulum berimpak tinggi dan terpenting anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah kelolaan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian sejak tahun 2005.

“Matlamat utama NRC adalah untuk membantu para murid membina asas yang kukuh dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); reka cipta; dan ICT. Di samping itu, NRC turut merangsang kreativiti murid untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan menggalakkan inovasi,”.

“Justeru, satu ketegori baharu iaitu Kategori Rekacipta dan Inovasi STEM telah diperkenalkan di peringkat negeri seluruh negara. Kategori ini mencabar pasukan untuk mereka bentuk sebuah jentera yang akan dilancarkan di atas trek dan siapa yang paling laju akan dinobatkan sebagai pemenang. Menariknya, ia tidak memerlukan pengaturcraan atau coding,”.

“NRC turut perkenalan Kategori We Do Khas untuk murid sekolah rendah berumur 10 tahun dan ke bawah bagi menerokai bidang robotik yang sangat menarik. Pertandingan ini akan dipertandingkan terus ke Peringkat Kebangsaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Dan Penutupan Pertandingan Robotik Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor.

Tambah beliau, pada pertandingan itu, 11 pasukan terbaik akan dipilih menjadi wakil negeri ke peringkat akhir bagi merebut tempat untuk mewakili negara ke kejohanan World Robot Olympiad 2018 yang akan diadakan di Chiang Mai, Thailand pada 16 hingga 18 November 2018.

“Kontinjen Malaysia telah berjaya mempamerkan prestasi cemerlang di persada antarabangsa dengan merangkul gelaran Juara Keseluruhan WRO sebanyak 6 kali, iaitu pada tahun 2009 di Pohang, Korea Selatan; pada tahun 2010 di Manila, Filipina; pada tahun 2012 di Kuala Lumpur; pada tahun 2013 di Jakarta, Indonesia; tahun 2015 di Doha, Qatar dan tahun lepas di New Delhi, India apabila Kontinjen Malaysia berjaya merangkul 2 pingat emas, 2 pingat perak, 2 pingat gangsa dan 1 Anugerah Kecemerlangan,”.

“Terkini pada tahun lepas, pasukan negara kita telah menduduki tempat ke-2 keseluruhan daripada 53 buah negara yang bertanding dengan menggondol 1 pingat emas, 2 pingat perak dan 4 anugerah kecemerlangan di Costa Rica,” katanya.

#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan

UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Educatation

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI