UPSI, 18 Julai – Kelab Penyayang Universiti Pendidikan Sultan Idris, berjaya menerima geran sebanyak RM5000.00 bagi melaksanakan cadangan ‘Kit Emas : Panduan untuk sukarelawan yang berkhidmat dengan warga emas’ dari Yayasan Budi Penyayang.

Geran itu diperoleh setelah pasukan UPSI mendapat kedudukan ke enam pasukan terbaik di antara 24 universiti yang bertanding dalam pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang berlangsung di RHR Hotel, Universiti Tenaga Nasional, Bangi pada 29 April 2018.

Pasukan yang diwakili lima pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda ini diselia oleh Dr. Hapsah Md Yusof dan Prof. Madya Dr. Fauziah Hanim selaku penasihat.

Tempat pertama dimenangi oleh Cyberjaya University College Of Medical Sciences, diikuti Management Science University, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Pahang, dan Universiti Sains Malaysia.

Pertandingan yang diadakan dua tahun sekali ini merupakan anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan menyemarakan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli-ahli Kelab Penyayang dan mahasiswa-mahasiswi institusi-institusi pendidikan tinggi Malaysia.

Juara pertandingan pula dipilih berdasarkan cadangan projek komuniti yang paling berinovasi, berimpak tinggi dan praktikal.

 

 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI