UPSI, 26 Jun – Kumpulan Technosys dari Institut Pengajian Siswazah dinobatkan Johan Pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) UPSI Kali Ke-10 Tahun 2018 mengalahkan enam kumpulan lagi dan lebih manis Technosys turut menerima Anugerah Best Among The Best.
Mengetengahkan projek bertajuk: “e-IPS – Aplikasi untuk mendapatkan maklumat secara pantas bagi pelajar Program Pengajian Siswazah”, kumpulan yang diketuai oleh Nur Fakriah Abdullah ini memperoleh markah tertinggi sekali gus terpilih mewakili UPSI ke Konvensyen KIK Universiti Awam (UA) Kali Ke-14 Tahun 2018 yang akan diadakan pada 13 hingga 16 Ogos 2018 di Universiti Malaya.
Kedudukan seterusnya dinobatkan kepada kumpulan Figure of 5 (Pusat Ko-Kurikulum). Kumpulan ini turut membawa pulang Anugerah Komitmen Terbaik manakala kumpulan Alumni Avengers (Pusat Alumni) berjaya membawa pulang Anugerah Persembahan Terbaik.
Turut bertanding ialah kumpulan Catalyzer (Bahagian Hal Ehwal Akademik), Thor (Fakulti Bahasa dan Komunikasi), Quick (Pusat Transformasi Komuniti Universiti), dan kumpulan I-Muallim (Pusat Pembangunan Akademik).
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, konvensyen itu, merupakan satu inisiatif penting dalam membentuk budaya kerja yang kreatif dan inovatif, dan mampu memberi kesan positif kepada organisasi kerana dapat mempercepatkan proses dan masa, meningkatkan kualiti sistem penyampaian sesuatu kerja dan perkhidmatan.
Beliau turut menyokong hasrat universiti untuk mengoptimumkan sumber sedia ada bagi membolehkan dasar penjimatan dalam perbelanjaan pengurusan universiti berjalan dengan lebih teliti, cekap, berkesan dan mempunyai value for money.
“Pihak pengurusan universiti akan terus menyokong program KIK kerana kebaikan dan kelebihannya kepada warga dan organisasi sendiri. KIK bukan sahaja memberi manfaat dalam pembangunan universiti malah turut memberi manfaat kepada persekitaran dan masyarakat di sekelilingnya,”.
“Fokus juga perlu diberikan terhadap penghasilan produk inovatif yang dapat membantu masyarakat untuk menjadi kreatif dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan yang kompleks,” katanya pada majlis penutupan konvensyen itu yang berlangsung di Dewan Seri Tanjung.
Konvensyen yang dihoskan oleh Bahagian Pengurusan Kualiti ini mengetengahkan kebolehan kakitangan dalam menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan terhadap kerja sekaligus mengiktiraf keupayaan kakitangan dalam mencipta cara bekerja baharu atau menghasilkan sesuatu inovasi.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Educatation