UPSI – Penggunaan teknologi internet yang kian berkembang menjadikan penggunaan aplikasi di telefon pintar sebagai salah satu medium penyebaran maklumat semakin mudah dan penting kepada semua golongan.

Institut Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut tidak ketinggalan menggunakan kemudahan ini untuk membina satu aplikasi yang di namakan e-IPS bagi capaian maklumat secara pantas untuk kegunaan dan memudahkan pelajar Program Pengajian Siswazah (Sarjana & Kedoktoran) di UPSI.

Ketua Projek, Nur Fakhriah Abdullah, yang juga merupakan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat IPS berkata, melalui aplikasi tersebut pelajar dapat mengakses pelbagai maklumat berkaitan pengajian melalui akaun pengguna secara individu dan berpusat dalam satu platform sahaja.

“Aplikasi ini dibina bagi membantu pelajar supaya lebih peka tentang maklumat dan hebahan penting yang sentiasa diberikan oleh pihak IPS dari semasa ke semasa. Selain itu, e-IPS ini boleh diakses pada bila-bila masa, di mana sahaja dan juga mesra pengguna”.

“Antara paparan yang boleh dilihat oleh pelajar melalui e-IPS adalah Announcement (Hebahan Semasa IPS), Student Profile (Semester Pengajian, Program Pengajian), Contact Information (Alamat surat mesyuarat, e-mel siswa-pengemaskinian maklumat peribadi melalui e-IPS), Financial Information (Penyata kewangan, tunggakan, denda), Academic Calendar (Takwim pengajian semester semasa), Programme Structure (Senarai kursus yang perlu pelajar daftar dan senarai kursus telah didaftarkan sepanjang tempoh pengajian), Confirmation Letter (Permohonan surat-surat pengesahan seperti surat KWSP, surat pengesahan pelajar & surat jangkaan tamat pengajian), dan Other Links (lain-lain pautan untuk pelajar mendapatkan maklumat-maklumat am dengan lebih lanjut),” katanya.

Tambah beliau, e-IPS juga membolehkan pelajar mengetahui status pengajian masing-masing selain dapat membantu, mengurus dan merancang pengajian akademik pelajar dengan lebih baik dan sistematik.

Cetusan idea bagi pembinaan e-IPS adalah hasil perbincangan daripada ahli kumpulan serta saranan daripada pihak pengurusan IPS berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar pengajian siswazah di UPSI.

e-IPS telah dibangunkan hasil daripada inovasi kumpulan TechnoSys yang turut disertai oleh empat kakitangan IPS iaitu Siti Rahmah Md. Poad (Pegawai Tadbir, Unit Pentadbiran dan Kewangan), Nazirul Mubin Bahari (Penolong Pegawai Tadbir, Unit Promosi), Nur Shuhada Jamil (Pembantu Tadbir, Unit Akademik-Penyeliaan) dan Nur Syafinaz Azmi (Pembantu Tadbir, Unit Akademik-Pendaftaran & Jadual Kuliah).

e-IPS mula dibangunkan pada Januari 2018 dan dilancarkan pada 2 Mei 2018. Bagi pembinaan fasa pertama, e-IPS hanya menyokong telefon pintar yang menggunakan sistem android sahaja dan boleh dimuat turun melalui Google Play Store. Penambahbaikan akan dilaksanakan bagi kemudahan pelajar yang menggunakan sistem iOS di samping penambahbaikan lain dari semasa ke semasa secara berperingkat. Sehingga kini, lebih 500 orang pelajar telah memuat turun aplikasi ini dan IPS berharap agar semua pelajar pengajian siswazah UPSI dapat menggunakan aplikasi e-IPS dalam membantu pelajar mendapatkan maklumat pengajian dan merancang pengajian pelajar dengan lebih baik.

Aplikasi e-IPS juga telah mendapat penarafan empat bintang dalam Pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) UPSI Kali Ke-10 Tahun 2018 dan terpilih untuk mewakili UPSI ke Konvensyen KIK Universiti Awam (UA) Kali Ke-14 Tahun 2018 yang akan diadakan pada 13 hingga 16 Ogos 2018 di Universiti Malaya.

#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan

UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Educatation

 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)