Oleh : Anis Syazwani Mohmed Azmi (Pelajar Praktikal UiTM Arau)
UPSI, 7 Januari – Sebanyak 434 naskhah buku dari koleksi peribadi, Penyandang Kursi Za’ba, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan diserahkan kepada Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) dalam satu majlis di Auditorium, PTB.
Menurut Profesor Datuk Dr. Awang, penyerahan itu bertujuan menambah dan berkongsi bahan ilmiah di PTB agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak khususnya kepada golongan pelajar dan penyelidik.
“Bahan bacaan adalah seperti rumput atau tumbuhan yang apabila ditebas, ia tetap akan tumbuh sekali lagi. Walaupun buku-buku yang terdapat dirumah saya telah dikatalogkan dan sebahagian besar bahan dan buku itu banyak diinfakkan kepada Pusat Institusi Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi ternyata ruang tersebut dengan cepat dipenuhi oleh buku-buku yang dibeli atau dihadiahkan kepada saya,” katanya.
Tambah beliau, rak-rak yang terdapat rumahnya juga akan dibawa ke perpustakaan agar tidak membebankan PTB untuk membeli rak khas bagi menempatkan koleksi tersebut.
Beliau turut berjanji akan meneruskan bekerjasama yang terjalin dengan universiti walaupun beliau tidak lagi menjadi warga UPSI.
“Terdapat beberapa projek-projek yang dilakukan oleh saya bersama Fakulti Bahasa Dan Komunikasi antaranya mendapat kelulusan geran pendidikan daripada Jabatan Warisan Negara sebanyak 50 ribu ringgit. Saya akan meneruskan projek tersebut dengan sokongan daripada pihak saya dan pihak Institusi Peradaban Melayu (IPM),”.
“Jika terdapat projek-projek baharu pada masa akan datang saya juga akan berkongsi dengan IPM. Dalam erti kata lain, saya tidak akan meninggalkan UPSI serta mengangkat ilmu bagi sastera budaya dalam aspek peradaban,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Profesor Dr. Suraini Abu Bakar turut berterima kasih kepada tokoh Bahasa atas sumbangan yang tidak ternilai itu serta merakamkan penghargaan sepanjang perkhidmatan beliau dengan UPSI.
“Sebanyak 69 naskah daripada buku tersebut merupakan karya Datuk Awang Sariyan dan kebanyakan buku-buku yang disumbangkan itu tiada dalam koleksi PTB,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Institut Beradaban Melayu, Profesor Madya Dr. Samsudin Suhaili, dan Pemangku Ketua Pustakawan, Cik Noriah Mohamad.
Profesor Datuk Dr. Awang dilantik sebagai Penyandang Kursi Za’ba pada pada 1 Julai 2019.
#demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY