Oleh : Anis Syazwani Mohmed Azmi (Pelajar Praktikal UiTM Arau)
UPSI, 19 Julai – Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan Kelab Hoki Universiti Pendidikan Sultan Idris menganjurkan Webinar bertajuk Pembangunan Akar Umbi Hoki Malaysia untuk berkongsikan kisah dan pengalaman barisan panel jemputan sepanjang berkecimpung dalam sukan tersebut.
Mereka ialah bekas Kapten Hoki Malaysia, jurulatih Mohamad Shukri Abdul Mutalib, Jurulatih Pembangunan Hoki Uddingston Scotland yang juga merupakan Jurulatih Pembangunan Hoki Kuala Lumpur, Nizam Yusof dan Jurulatih Pembangunan Hoki Selangor, Harfizi Baharom.
Jurulatih Mohamad Shukri berkata, beliau menceburi sukan hoki sejak dari usia muda iaitu pada tahun 1996 ketika berumur 10 tahun.
“Minat terhadap hoki datang disebabkan saya melihat ketiga-tiga abang saya yang terlibat dalam sukan ini dan daripada situ saya amat meminatinya. Saya juga mengikut arwah ayah saya ke mana sahaja perlawanan yang diadakan dan saya sangat teruja bermain hoki pada ketika itu.”
“Saya mula mewakili Perak pada tahun 1997 ketika di sekolah rendah. Jurulatih saya ketika itu adalah Encik Nizam Ahmad dan beliau melatih pelajar-pelajar di Trolak Utara dari tahun 1996 sehingga 1998. Malangnya pada tahun 1998 Kejohanan MSSM hoki tidak dapat dipertandingkan kerana kegawatan ekonomi ketika itu,”.
“Walaupun agak kecewa, namun kesedihan itu sedikit terubat kerana saya dapat melihat aksi salah seorang wakil daripada Trolak Utara Roslan Jamaluddin yang beraksi di pentas Sukan Komanwel pada tahun 1998 dan saya sangat teruja melihat aksi Roslan Jamaluddin,” cerita beliau.
Jurulatih, Muhammad Nizam pula berkongsi pandangan berkenaan pembangunan hoki di Uddingston Scotland. Katanya, dari segi pembangunan, jadual latihan untuk pembangunan untuk setiap pasukan adalah sama di mana mereka akan membuat jadual latihan lebih awal daripada slot latihan pasukan utama maka daripada situ ia memberi peluang kepada pasukan Utama untuk turut sama membuat latihan bersama pasukan-pasukan pembangunan.
“Di Uddingston, mereka mempunyai lebih daripada 200 pelajar yang kebiasaannya menyertai pembangunan pasukan hoki pada setiap minggu. Dalam setahun mereka dapat memiliki 1000 hingga 2000 pelajar yang hadir untuk menyertai latihan hoki dan sekarang Uddingston mempunyai enam pasukan lelaki dan empat pasukan wanita,” ulas beliau.
Tambah beliau, pembangunan hoki di Uddingston adalah berterusan dan tidak berhenti di mana pelajar-pelajar tersebut akan bermain hoki pada awal sehingga hujung tahun.
“Walau bagaimanapun, terdapat waktu rehat pada cuti musim panas iaitu pada bulan Mei sehingga Julai di mana tiada pertandingan akan dijalankan. Hal ini kerana mereka akan memberi peluang kepada pertandingan International di Europe pada bulan Mei hingga Ogos,” katanya.
Sementara itu, Hafizi Baharum pula membicarakan tentang bagaimana menyalurkan minat murid sekolah rendah di Selangor dalam sukan hoki sewaktu pandemik.
Katanya, tiga elemen penting iaitu satu keseronokan, kreativiti dan komunikasi perlu diterapkan dalam setiap sesi Latihan yang dijalankan.
“Bukan sahaja diwaktu pandemik tapi bila kita kembali ke padang elemen-elemen ini adalah elemen-elemen yang penting .Dengan adanya elemen ini dalam permainan secara tidak langsung akan dapat menarik minat murid ataupun pemain.”
“Apa yang kita tahu pembangunan akar umbi murid dan pemain tu perlu berasa seronok apabila mereka bermain sukan hoki ini. Maka kita kena faham dan kita perlu melihat pada peringkat umur mereka dan saya rasa mereka tidak perlu diberi tekanan.
“Mereka kalau pergi padang mereka hanya hendak seronok bermain dengan kawan-kawan dan inilah dikatakan elemen ini penting sebagai jurulatih. Maka untuk mencipta keseronokan di padang, kita seharusnya mempunyai elemen seperti kreativiti daripada jurulatih ataupun siapa-siapa yang menjaga atlet tersebut,” katanya.
#demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY