TANJUNG MALIM: Persatuan Arkitek Landskap Awam Malaysia (PALMA) menyampaikan sumbangan empat  unit kerusi roda serta lain-lain peralatan perlindungan kesihatan diri kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sumbangan PALMA itu disampaikan kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH), Profesor Madya Dr. Marinah Awang  oleh Ahli Jawatankuasa Zon Utara PALMA, Rosa Malinda Mahayudin pada satu sesi ringkas penyerahan.

SUMBANGAN…Dr Marina (dua dari kanan) menerima kerusi roda daripada Rosa Malinda sambil disaksikan Dr. Norziha (kanan).

Sesi penyerahan turut yang diadakan di Kompleks Akademik, Kampus Sultan Azlan Shah, turut disaksikan oleh Pengarah Pusat Kesihatan Universiti , Dr. Norziha Abd. Hamid dan  Arkitek Landskap Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Biro Kebajikan dan Penyelaras Program PALMA; LAr. Mohd Farid Zakaria.

Dr. Marinah bagi pihak PPV  mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan PALMA dan penyumbang sekali gus melancarkan perjalanan program vaksinasi yang diusahakan UPSI.

Pengerusi PALMA, LAr. Meor Abdullah Zaidi Meor Razali yang juga Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Ipoh, Perak berkata, melalui kutipan di kalangan ahli serta orang ramai, diharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan di PPV yang sedang menghadapi tekanan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat terutamanya di kawasan yang sedang dilanda kenaikan kes pandemik yang tinggi.

Beliau berkata sumbangan inisiatif kalangan penjawat awam itu  adalah selari dengan seruan Ketua Setiausaha Negara bagi meringankan bebanan rakyat semasa pandemik ini.

Program kutipan sumbangan ini adalah salah satu program kebajikan dibawah kelolaan Biro Kebajikan PALMA yang bermula pada awal Julai 2021 dan berakhir pada 31 Ogos 2021 lepas.

Sehingga 31 Ogos 2021, PALMA menerima kutipan terkumpul sebanyak RM8,781 yang membolehkan membuat beberapa sesi penyerahan kerusi roda di PPV terpilih di beberapa buah negeri antaranya 10 unit di PPV Kompeks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, Negeri Sembilan; 5 unit PPV Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak; 5 unit di PPV Dewan Datuk Hj.Mohd Ithnin, Jasin, Melaka.

Akan datang, katanya,  PALMA bakal menyerahkan lima unit kerusi roda untuk kegunaan PKRC oleh wakilnya di Pasir Gudang, Johor dan kesinbungan program kebajikan di Petaling Jaya, Selangor dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata program itu menerima sumbangan dari individu atau berkumpulan untuk membantu PALMA membeli kerusi roda bagi kegunaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih di seluruh Negara.

“PALMA berharap dengan bantuan yang dihulurkan ini mampu meringankan beban dan memberi manfaat kepada semua pihak atas dasar semangat Keluarga Malaysia ” katanya.

-Sabah360online

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)