Oleh : Muhammad Firdaus bin Ahmad Idris (Pelajar Praktikal Universiti Pendidikan Sultan Idris)

Foto : Keratan Akhbar Berita Harian

“Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.” Riwayat Ibn Majah (3993)”.

          Ajaran sesat dari sudut agama Islam merupakan sesuatu perkara atau amalan yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.AW. Manusia sering tertarik akan perkara ganjil atau karamah yang mampu dilakukan oleh manusia yang lain sehingga sanggup untuk mengikuti dan mengangkat martabatnya secara berlebihan. Mereka yang terlalu taksub pula akan mengakui bahawa individu yang mereka agungkan itu sebagai tuhan tanpa menyedari bahawa mereka telah terpedaya akan ajaran sesat yang dibawa dan diamalkan oleh individu tersebut serta bahayanya ajaran tersebut terhadap diri, keluarga dan negara.

          Antara bahayanya ajaran sesat adalah ia akan memberi banyak kemudaratan kepada diri mereka sendiri. Seperti yang kita sedia maklum, ketua kepada sesebuah ajaran sesat kebiasaannya akan mengajak dan menyeru para pengikutnya untuk melakukan perkara yang syirik dan khurafat yang kebanyakkannya bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sebagai contoh, mereka akan mempercayai bahawa guru mereka itu nabi dan bahkan menyembah guru mereka sebagai tuhan dan mengikut setiap arahan seperti pemujaan kubur wali dan hal-hal yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini berlaku kerana minda mereka sudah dibasuh dengan kata-kata dusta oleh ketua ajaran sehingga hilangnya kewarasan dan logik akal mereka.

          Seterusnya ajaran sesat juga memberikan impak yang negatif kepada organisasi keluarga. Mereka yang menganut ajaran sesat akan cenderung untuk mengabaikan keluarga mereka demi untuk menuruti setiap arahan gurunya. Terdapat juga kes dimana mereka sanggup untuk memberikan segala harta termasuk diri mereka sendiri kepada individu yang dianggap mulia itu kerana tahap ketaksuban mereka yang melampau dan tinggi. Sebagai contoh, laporan Berita Harian Singapura bertarikh 6 Disember 2020, mengenai dakwaan seorang lelaki yang juga merupakan bekas tukang urut berusia 50-an tahun sebagai sesat. Dia juga dikatakan telah menjalani nikah batin bersama lima wanita. Hal ini menunjukkan bahawa ajaran tersebut menyebabkan berlakunya kelahiran anak yang tidak sah taraf dan akan merosakkan institusi kekeluargaan disamping merendahkan martabat wanita.

          Di samping itu, ajaran sesat juga mampu mengancam ketenteraman dan perpaduan sesebuah negara. Hal ini kerana kebanyakkan ajaran sesat sangat cenderung untuk melakukan keganasan dan juga sering dikaitkan dengan extremis. Mereka akan menganggap bahawa ajaran yang dibawa oleh mereka itu benar dan sesiapa yang menentang ajaran mereka itu akan dianggap musuh. Menurut sebuah artikel bertajuk Ekstremis Syiah pengaruhi ajaran sesat Malaysia terbitan Utusan Melayu Malaysia Berhad pada tahun 2012 menyatakan bahawa terdapat peristiwa dimana seorang lelaki yang mendakwa dirinya Imam Mahadi telah memasuki perkarangan Putrajaya dan mengugut anggota keselamatan dengan pedang. Hal ini merupakan salah satu perbuatan agresif yang dilakukan oleh pergerakan ajaran sesat yang radikal. Sehubungan dengan itu, hal ini mampu menggugat tahap keselamatan dan tahap perpaduan sesebuah negara dan masyarakat akan memandang enteng terhadap kehidupan beragama.

          Kesimpulannya, kita hendaklah menjauhi sebarang bentuk ajaran sesat kerana ia memberikan kesan yang sangat buruk bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi turut menjejaskan imej agama Islam. Kita haruslah berfikir secara rasional dan sentiasa mendalami ilmu agama berpandukan al-Quran dan as-Sunnah yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. Hal ini kerana individu yang cetek ilmu agamanya akan mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang wujub bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Akhir kata, perbaiki akhlak dan diri dari segala fitnah kerana kita berada di fasa akhir zaman. Rujuklah pada yang berilmu dan diiktiraf ilmunya oleh para ulama agar tidak terpesong dari akidah yang benar. 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)