Bagan Datuk:  Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin yang berlangsung hari ini menyaksikan  tiga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI menerima sumbangan sebelum mendaftar masuk secara dalam talian ke universiti berkenaan pada 11 Oktober ini.  

Tiga pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bersyukur dan terharu apabila menerima pelbagai sumbangan yang akan memudahkan pembelajaran dan meringankan beban kewangan mereka.

Selain tiga pelajar berkenaan menerima tawaran wang pendahuluan pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), mereka juga menerima  sumbangan berbentuk bantuan pelan data, komputer riba selain wang saku sekali gus dapat  meringankan beban dan menyuntik motivasi sepanjang pengajian masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika menyampaikan sumbangan kepada ketiga-tiga pelajar berkenaan di Bagan Datuk berharap mereka akan belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Saya mendoakan semoga semua pelajar memanfaatkan segala sumbangan ini demi pengajian agar menjadi graduan yang cemerlang dan hebat,” katanya.

Noraini menyampaikan sumbangan kepada Nur Afrina Aina Haziman,20, yang akan melanjutkan pengajian  Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dengan Kepujian;  Fatin Hazwani Ahmad Darichi, 20,  (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian) serta Amira Syafika  Mohammad Agus, 20, yang akan melanjutkan pengajian    Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dengan Kepujian.  

Ibu Nur Afrina, Nur Majdiyah Amin, 41,  tidak dapat menahan air mata ketika menyaksikan anaknya menerima sumbangan yang disampaikan Noraini dan berharap anaknya itu menghargai sumbangan berkenaan dengan belajar hingga mencapai kejayaan yang cemerlang.

“Saya tidak menyangka akan menerima sumbangan ini, dan mendoakan Nur Afrina dapat belajar dengan baik dan bersungguh-sungguh demi mengubah nasib dan masa depan  keluarga,” katanya.

 Sementara itu Naib Canselor UPSI,  Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, turut melahirkan kesyukuran kerana ketiga-tiga pelajar universiti berkenaan terpilih menerima sumbangan itu.

“Sebagai Naib Canselor, tentunya saya berharap sumbangan ini menjadi pembakar semangat dan motivasi malah memberi fokus terhadap pengajian agar dapat mencipta keputusan terbaik seawal semster pertama, “ katanya.

Beliau berkata kesusahan dan kepayahan hidup yang dilalui bukan suatu halangan untuk menjadi graduan yang hebat dan cemerlang.

“UPSI menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa untuk semua pelajar, namun krisis COVID-19 membataskan kehadiran pelajar untuk berada di kampus,” katanya .

Sumbangan daripada UPSI, katanya,  adalah inisiatif Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS ) UPSI hasil sumbangan zakat pelbagai agensi korporat.

Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif  berkata   WEZAS mengalukan-alukan  pelbagai pihak untuk menyumbang dana kepada pihaknya supaya bantuan dapat disalurkan kepada pelajar yang  perlu dibantu demi memenuhi impian mereka melanjutkan pengajian hingga tamat.  

 Hadir sama Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi;  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr Husaini Omar;  Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM),  Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)