DR. MARZITA Puteh (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada kepada pelajar sambil disaksikan Dr. Abdul Rahim Razalli (kiri) di Bagan Datuk semalam.

BAGAN DATUK: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengagihkan sumbangan makanan asas kepada keluarga pelajar golongan B40 menerusi Program Outreach Ramah Mesra yang bermula di sini, kelmarin.

Program mengagihkan makanan seperti beras, minyak masak dan keperluan makanan asas lain serta sagu hati wang tunai di bawah anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPSI di daerah Bagan Datuk.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Dr. Marzita Puteh, sebanyak 10 keluarga  menerima sumbangan tersebut iaitu pelajar sekolah sekitar daerah Hilir Perak melibatkan kawasan Hutan Melintang, Rungkup, Teluk Bharu dan Bagan Datuk.

“UPSI melaksanakan inisiatif sumbangan dengan mengenal pasti golongan sasaran melalui kerjasama perkongsian  data daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) semasa menjalankan Program Outreach Ramah Mesra Kementerian Pendidikan Tinggi  bermula semalam dan hari ini di Dewan Dato Lope Hashim di sini,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Akademik UPSI, Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Razalli berkata, program sumbangan tersebut dilaksanakan untuk memberi nilai tambah kepada pelaksanaan penganjuran program ramah mesra.

Menurutnya, ini selaras dengan hasrat KPT untuk memasyarakatkan universiti (U4S) menerusi perkongsian strategik Bahagian Hal Ehwal Akademik, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI serta Pusat Alumni UPSI. 

“Sumbangan yang diberi ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar golongan B40 di sekitar daerah ini, sekali gus dapat memberi rangsangan dan dorongan kepada mereka menanam impian melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana kebanyakannya adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022,” katanya.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Bagan Datuk, Kasmiyati Katiman yang turut hadir sama berkata, kerjasama strategik  pihak universiti dengan jabatannya dapat mengukuhkan dua hala selain sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar yang menjadi  golongan sasaran.

Bagi penerima sumbangan, Noor Rabika Abdul Majid, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Muara di sini mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak UPSI dan PPD yang prihatin.

“Dengan sumbangan yang diterima ini, ia secara tidak langsung membakar semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh, apatah lagi, saya bakal menduduki peperiksaan SPM,” katanya.

– UTUSAN ONLINE

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)