- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
Tanjong Malim – Skim Siswazah Berkerja (SSB) diwujudkan untuk menggalakkan siswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapat pengalaman berkerja yang sebenar sewaktu melanjutkan pelajaran di Universiti yang bersejarah ini.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pengambilan siswazah dalam pengurusannya mengamalkan pendekatan “earn & learn”, SSB mendedahkan pelajar terhadap realiti dunia pekerjaan selain melengkapkan siswazah dengan pelbagai kemahiran seperti komunikasi, pengurusan, disiplin, integriti & penyelesaian masalah.
“Kewujudan skim ini membolehkan universiti menampung kekurangan tenaga kerja dek perkembangan pesat universiti dan penubuhan jabatan baharu,” jelasnya dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan UPSI hari ini.
Menurut Dr. Md Amin lagi, siswazah akan ditempatkan di pusat tanggungjawab yang memerlukan tenaga kerja pentadbiran di bawah pemantauan dan penyeliaan sistematik pegawai yang dipertanggungjawabkan.
“Selaras dengan slogan UPSI PRIHATIN, kadar bayaran SSB ini sebelum ini RM 4.00 sejam dinaikkan kepada RM 6.00 sejam bagi menjamin kebajikan para siswazah dengan pendapatan yang lebih relevan dengan keadaan semasa,” jelasnya lanjut.