TANJONG MALIM – Baru-baru ini sempena dengan sambutan 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pusat Kaunseling UPSI mengambil langkah yang jitu untuk menganjurkan Program “Chitchat with Malaysian Astronaut: Inspire Your Dream Career” pada Isnin, 21 Februari 2022 dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International), Kelab PEMADAM UPSI, Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MAKUMA), dan Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Negeri. Selain itu, pihak penganjur juga telah menjemput Angkasawan Negara iaitu Mejar Dr Faiz Khaleed untuk memberikan perkongsian beliau. Program ini melibatkan pelajar sekolah, pelajar Universiti serta masyarakat awam yang ingin mendapatkan panduan serta inspirasi untuk sebuah kerjaya dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Khalid Salimin dalam ucapan perasmian beliau berkata, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menerajui bidang pendidikan selama seabad dan tidak terkecuali daripada terkesan dengan gelombang peralihan teknologi dan perubahan struktur ekonomi pasca COVID-19. Tuntutan sektor industri terhadap dinamika pendidikan di IPT serta pemadanan inovasi di IPT dengan keperluan sektor industri harus diteruskan agar graduan dapat dilahirkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian untuk tuntuan pasaran buruh masa hadapan.

“Tidak terlambat untuk kita meneroka dan mendalami sesuatu bidang yang mungkin menjadi impian pekerjaan kita pada masa akan datang terutamanya untuk pelajar-pelajar IPT, pelajar sekolah dan komuniti setempat. Sesetengah orang berkata, “Jika hendak berjaya, kita perlu memilih suatu kerja atau perkara yang kita minati, supaya boleh dilakukan sebaiknya.” Namun, ada juga berpendapat “Jika ingin berjaya, ianya perlu bermula untuk melakukan perkara yang kita tidak suka dan belajar untuk keluar dari keselesaan itu,”

 “Program ini amat bersesuaian untuk memenuhi keperluan lapisan masyarakat bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi. Maka maklumat yang tepat dan terkini tentang kerjaya penting dalam proses membuat pilihan dan keputusan yang bijak,” katanya.

Seterusnya, Pengarah Pusat Kaunseling Dr Pau Kee berkata, dengan menjemput Mejar Dr Faiz Khaleed Angkasawan Negara ianya sebagai satu sosok tokoh yang boleh diteladani bersama dengan pelbagai pengalaman kerjaya serta peralihan kerjaya yang beliau lalui. Peralihan kerjaya tersebut tidak sedikit pun menjejaskan Mejar Dr Faiz Khaleed daripada mencapai kejayaan yang membanggakan ini. Hal ini demikian kerana, ianya satu bukti yang kukuh untuk kita semua bahawa tidak kira apa jua bidang yang  diceburi memerlukan kesungguhan dan minat yang seiring dengan matlamat yang jelas serta sokongan orang sekeliling yang padu.

Dalam pada itu, objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan tentang bidang pekerjaan dan kejayaan dalam mencapai suatu kerjaya bagi masyarakat terutamanya bakal graduan IPT, pelajar-pelajar lepasan SPM atau calon-calon yang akan menduduki peperiksaan SPM.

Natijahnya, diharapkan dengan ruang masa dan peluang ilmu yang diberikan dalam program ini moga menjadi pembangkit motivasi untuk pelajar-pelajar terus maju dari segi akademik dan memupuk sikap yang baik untuk penambahan kriteria dalam pemilihan kerjaya kelak.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my