- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
- foto: Shahidah Abu Hassan
Bandar Baru Bangi 25 Mac – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoA) melalui geran penyelidikan usahasama antara Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, dengan MPOB di Ibu pejabat MPOB, Selangor.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, antara penyelidikan yang bakal dilakukan dalam termasuklah isolasi dan pengklonan gen enzim lipase daripada buah sawit, pengekpresan enzim lipase rekombinan dalam perumah bakteria, penulenan enzim lipase rekombinan dan pencirian fizikal dan kimia enzim tersebut.
- baca lagi di : UtusanTV, Utusan Malaysia, NST, Malaysia Gazette
“Kajian terhadap enzim lipase rekombinan ini adalah yang pertama dan masih belum diterokai oleh mana-mana saintis di dunia. Penemuan yang dihasilkan daripada projek ini bakal menjadikan Malaysia sebagai perantis dalam bidang penyelidikan sawit antarabangsa sekaligus membantu industri ini ke peringkat global,” jelasnya ketika ucapan aluan semasa sesi menandatangani perjanjian persefahaman itu di sini.
Penyelidikan bertajuk Expression and Characterization of Lipase from Oil Palm (Elaies Guineensis) melibatkan kepakaran akademia daripada kedua-dua oraganisasi tersebut diketuai Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, pensyarah kanan FSM UPSI dan Dr. Nurniwalis Abdul Wahab, pegawai penyelidik kanan MPOB.
Menurut Md Amin lagi, melalui kerjasama ini sekaligus melonjakkan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi terutamanya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pemindahan kepakaran dan teknologi bertaraf tinggi, usahasama penerbitan, penyeliaan pascasiswazah dan kerjasama penghasilan, pemasaran dan pengkomersilan harta intelek.
“Gandingan kepakaran ini akan menghasilkan ilmu pengetahuan baharu, penyelidikan bertaraf antarabangsa dan modal insan yang dapat dimanfaatkan kepada masyarakat, sesuai dengan Pelan Strategik UPSI yang berhasrat untuk menjadi 100 universiti pendidikan terbaik dunia’’ katanya.
Turut Hadir, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir menyatakan MPOB mempunyai kepakaran bioteknologi bidang sawit terutamanya program biak baka, genom, transgenik, proteomik dan metabolomik, fenolik dan program kultur tisu dalam memajukan sektor huluan sawit negara.
“Penggiat industri sawit boleh memanfaat kemajuan penyelidikan yang boleh menghasilkan bahan tanaman berkualiti untuk peningkatan kualiti dan produktiviti tanaman sawit serta produk tambah nilai,” jelasnya.
Turut hadir, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan MPOB, Dr Zainab Idris dan Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah.