- oleh: MUHAMMAD ZAFIR BIN MOHD SAMAN (PUSAT ALUMNI)
Kelantan – Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah pun melaksanakan program Ziarah Kasih Alumni yang sedang sakit dan uzur di Kelantan.
Pusat Alumni UPSI dengan Kerjasama Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat, dan Sedekah (WEZAS) UPSI telah mengunjungi dan melawat dua orang alumni Anak Kandung Suluh Budiman zaman Maktab Perguruan Sultan Idris(MPSI) di Kelantan iaitu Cikgu Rokaid dan Cikgu Azman. Kunjungan ini bukan sahaja untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, akan tetapi Pusat Alumni dan WEZAS telah menyalurkan sedikit sebanyak sumbangan kepada Cikgu Rokaid dan Cikgu Azman, walaupun tidak banyak nilainya, tetapi cukup sekadar untuk menyampai salam Ibu Kandung Suluh Budiman dan tanda ingatan yang berpanjangan.


Cikgu Azman menyatakan bahawa beliau sangat teruja dikunjungi oleh Pusat Alumni kerana kunjungan ini sekurang-kurangnya dapat melepaskan kerinduan yang tidak terhingga terhadap institut ini. Cikgu Rokaid yang juga seorang guru dan wartawan sambilan mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan yang diberikan kerana ianya dapat sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian dan dapat bertemu mata dengan wakil dari Ibu Kandung Suluh Budiman.
Turut bersama dalam program ini ialah Timbalan Pengerusi AKSB Kelantan iaitu Cikgu Shukri. “Kami di AKSB Kelantan sangat terharu akan keprihatinan pihak Universiti yang terus menerus menyantuni kami bekas pelajar walaupun kami dah meninggalkan Tanjung Malim hamper 30 tahun” ujarnya.

Pengarah Pusat Alumni, Dr. Siti Hartini dalam amanatnya berkata “Pusat Alumni UPSI akan terus menyantuni alumni nya walaupun mereka telah meninggalkan institut ini puluhan tahun yang lepas”. Selepas selama lebih 2 tahun pandemic Covid-19 melanda negara, program kembara dan ziarah alumni tidak dapat dilaksanakan secara fizikal. Oleh itu, Dr. Hartini berharap agar program-program murni seperti ini dapat dilaksanakan bagi terus menanam baja kerinduan pada Ibu Kandung Suluh Budiman yang akan menyambut Sambutan 100 Tahun nya pada 22 November tahun ini.
baca lagi di : Sabah360Online