Guru-guru yang mengajar perlu lebih menarik dengan menggunakan kaedah menyanyi, bersajak untuk menarik minat anak murid. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mewujudkan ‘Geran Pengambilan Guru Khas dan Jaminan Penempatan’ bagi guru-guru mata pelajaran Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris untuk menangani isu kekurangan guru dalam subjek tersebut.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata, UPSI mampu menyumbang dan memainkan peranan dalam membangunkan keperluan bagi menampung kekurangan guru ini.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberikan ‘Geran Pengambilan Guru Khas’ itu kepada pihak UPSI yang khususnya melahirkan guru-guru sekolah di Malaysia.

Mohd Hairy

“UPSI memang ada cikgu yang kita lahirkan dalam bidang tersebut tetapi masalahnya mereka perlu memohon jadi guru dan ditemu duga semula.

“Jadi penempatan untuk mereka tidak terjamin. Dengan adanya geran khas ini tidak perlu besar pun hanya surat rasmi yang jelas memberi jaminan untuk mereka teruskan dalam bidang ini dan jadi guru akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hairy berkata, disebabkan penempatan guru itu dibuat secara terbuka, ia menyebabkan UPSI bukan satu jaminan untuk mereka menjadi guru selepas habis belajar.

“Kalau dahulu kita ada program pensiswazahan guru, mereka ambil ijazah, habis terus KPM tarik mereka jadi guru.

“Jadi sekarang geran khas ini perlu untuk siswazah daripada ijazah pendidikan mana-mana universiti khususnya UPSI sebagai jaminan.

“Tetapi daripada kita tetap ada buat tapisan, tiada masalah sekiranya mereka mahukan guru yang berkualiti dan sesuai untuk kehendak KPM,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Noraini Idris berkata, pelajar Malaysia kurang berminat dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris yang menyebabkan mereka kurang memilih subjek tersebut.

Malah ada yang menganggap subjek Pendidikan Islam hanya sekadar belajar mengaji dan jawi sahaja sedangkan ia dalam konteks yang luas seperti fardu ain, sirah nabi dan fiqh.

Noraini

“Jadi apabila dari sekolah gred tidak mantap itu yang jadi kekurangan untuk menerima di peringkat universiti untuk dilatih jadi guru.

“Jadi sekarang ini kita kena kempen di sekolah untuk mantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dari segi komunikasi dan bertulis.

“Cara pembelajaran itu juga perlu ada elemen seronok yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita,” jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya sudah diterapkan minat dari sekolah lagi, maka calon bakal guru yang akan menjadi guru itu meningkat.

“Kalau zaman dahulu Bahasa Inggeris wajib lulus, sekarang ini tidak, jadi kurang perhatian pelajar ini untuk berusaha bersungguh menguasai subjek tersebut.

“Guru-guru yang mengajar perlu lebih menarik dengan gunakan kaedah menyanyi, bersajak sambil menarik minat pelajar,” ujarnya.

Tegas Noraini, untuk menambah bilangan calon guru bagi subjek tersebut perlu dikukuhkan bermula dari sekolah lagi.

“Banyak usaha yang kita perlu buat sekarang ini. Kerajaan perlu banyak modul untuk mereka lebih cenderung dan tertarik dengan subjek ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian https://www.sinarharian.com.my/

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)