Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendominasi Karnival Sukan Masum Fasa 1 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Mac 2022 bertempat di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang Pahang dengan membawa pulang 13 pingat emas, 7 perak dan 8 gangsa.
UiTM muncul juara keseluruhan selepas mengatasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meraih 8 emas, 4 perak dan 4 gangsa manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditempat ketiga dengan 3 emas, 5 perak dan 4 gangsa.
Pasukan petanque dan memanah UiTM beraksi cemerlang dengan mengutip empat emas manakala bagi acara silat dan catur menyumbang dua emas tetapi bagi acara taekwondo pula hanya mampu membawa pulang satu emas.
Karnival Sukan Masum yang terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid 19 itu mempertandingkan lima acara sukan iaitu petanque, memanah, taekwondo, silat dan catur yang dilangsungkan mengikut SOP ditetapkan pihak MKN, KBS dan UMP selaku tuan rumah kejohanan.
Kontinjen UiTM menghantar 61 atlet dan 20 pegawai dalam temasya sukan itu yang menarik penyertaan dari 20 buah universiti awam.
Untuk rekod, UiTM juara sukan Masum 2018 dan 2019 dan dijangka mampu meneruskan dominasi dalam Karnival Sukan IPT yang dijangka berlangsung pada Ogos nanti.