KUALA LUMPUR: Kali terakhir dianjurkan pada 2014, Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) diteruskan untuk edisi ke-10 mulai Ogos depan.
Pada edisi lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kali ini, agensi berkenaan berkolaborasi dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.
FINAS turut memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 bagi menganjurkan festival berkenaan. Tidak cukup itu, FINAS menawarkan geran penerbitan bernilai RM100,000 kepada pemenang bertuah kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim menyifatkan FFVPM wajar dihidupkan semula berikutan ramai bakat muda dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta kreatif menghasilkan kandungan.
“Malah, banyak kursus ditawarkan berkaitan kandungan kreatif seperti di UPSI, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Multimedia, The One Academy, Lim Kok Wing dan sebagainya,” katanya.
Md Nasir berkata, melalui FFPVM, bakat baharu dapat digilap dan diketengahkan.
“Golongan inilah yang akan menjadi pelapis kepada generasi pengkarya seni sedia ada bagi perkembangan industri kreatif masa kini dan hadapan,” katanya.
Md Nasir amat berbesar hati UPSI sedia menjalinkan kerjasama untuk merangsang sinergi demi kebaikan bersama dan merancakkan pertumbuhan generasi pelapis.
“FINAS sebagai peneraju industri kreatif negara tampil mempelawa UPSI untuk bekerjasama menganjurkan acara ini.
“Tanpa ragu-ragu, FFVPM dilihat antara usaha dan inisiatif dalam terus menggalak dan menghargai bakat dalam kalangan pelajar pengajian tinggi terutama mereka yang terbabit dalam bidang kandungan kreatif,” katanya.
Pada 23 Mac lalu, Md Nasir bersama beberapa pegawai kanan FINAS bertemu Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff untuk berbincang kerjasama menjayakan FFVPM sempena sambutan ulang tahun Ke-100 institusi pendidikan perguruan itu.
Sementara itu, Md Amin optimis dengan kerjasama itu bagi graduan versatil dan berketerampilan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Industri kandungan kreatif dilihat mampu menjana pendapatan kepada graduan yang memanfaatkan bakat dan idea yang diperoleh setiap hari,” katanya.
Antara kategori bakal dipertandingkan pada FFVPM termasuk Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik, Filem Animasi Terbaik, Filem Iklan Terbaik, Filem dan Video Eksperimen Terbaik.
Tidak ketinggalan, Skrip Terbaik, Kostum Terbaik, Sinematografi Terbaik, Muzik Terbaik, Grafik Terbaik, Video Klip Terbaik, Pengarah Harapan, Penyunting Terbaik, Penataan Seni Terbaik serta Penataan Bunyi Terbaik.
Selain Geran Dana Kandungan Digital (DKD), peserta yang menang juga berpeluang menerima hadiah berupa trofi, wang tunai serta sijil penyertaan. – BH