oleh: Nurul Arifah Mohd Hanizam (pelajar latihan industri UPSI)
foto: Nurul Hasniza Rashid
Tanjung Malim 26 Mei 2022 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini telah menerima kunjungan hormat dari delegasi Harley Davidson Cawangan Kuala Lumpur ke Pejabat Naib Canselor. Ini adalah hasil dari inisiatif Bahagian Komunikasi Korporat melalui Unit Promosi, Penjenamaan, dan Penerbitan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara UPSI dengan penggiat industri.
Harley Davidson Cawangan Kuala Lumpur telah menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan kerjasama ini bagi tujuan untuk memastikan penjenamaan UPSI dan Harley Davidson dapat dikenali bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa.
Hal ini juga turut dilaksanakan bersempena dengan sambutan UPSI 100 tahun SITC-MPSI-UPSI-UPSI yang akan berlangsung pada 29 November 2022. Cadangan Promosi Bersama Penjenamaan UPSI dan Harley Davidson ini dilaksanakan melalui cadangan aktiviti konvoi pergi-balik “return convoy” 100 Motosikal Harley Davidson, dimana konvoi ini akan memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim dengan membawa bendera kecil 100 Tahun UPSI.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, gandingan pihak UPSI dan Harley Davidson ini sudah pastinya dapat menyediakan ruang dan peluang untuk kedua-dua pihak ini berkongsi sumber dan kekuatan masing-masing demi mengurangkan beban pelajar waima komuniti setempat melalui aktiviti tanggungjawab korporat.
“Gandingan unik ini juga dapat membantu untuk menaikkan visibiliti kedua-dua organisasi yang berbeza industri, sekali gus mencetuskan kesedaran dalam kalangan masyarakat di dunia melalui konsep Giving Back To Society,” jelasnya.
Pengarah Harley Davidson Cawangan Kuala Lumpur, Larry Yap Eng Keong, yang turut sama hadir pada majlis tersebut bersama wakil Harley Davidson yang lain telah menyifatkan pertemuan ini sebagai sebuah platform yang terbaik bagi pendedahan kepada produk Harley Davidson.