oleh: Mohd. Razalli Ahmad Termizi (Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI)

Wacana pemikiran filem Mamat Khalid anjuran bersama Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI dan Enjit-enjit Semut Sdn. Bhd. telah berjaya diadakan pada 26 Mei 2022 yang lalu. Ia dijadikan sebagai medan untuk menghuraikan lebih mendalam pemikiran beliau dalam filem-filem yang telah dihasilkan sepanjang hayat beliau. Selain melibatkan sejumlah 80 orang kakitangan dan pelajar UPSI, program ini  dihadiri oleh Hajah Hasmah binti Hassan, isteri dan Mohd. Khalid Amen, anak mewakili keluarga Allahyarham Mamat Khalid. Ia  juga dihadiri oleh penggiat seni tanah air seperti Aziz M. Osman, Imuda, Mat London, Pekin Ibrahim, Nasir Jani dan Hafiz@Mirlun. Program dimulakan dengan doa tahlil khusus untuk Allahyarham Mamat Khalid.

Sesi wacana yang dikendalikan Prof. Madya Dr. Zahuri Khairani, pensyarah kanan UPSI yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Anak-anak Seni Sarang Malaysia. Wacana ini menampilkan Hassan Muthalib, seorang pengkritik filem dan Dr. Salman AlFarisi, pensyarah kanan UPSI sebagai panelis. Hassan Muthalib membicarakan mengenai niat Mamat Khalid dalam menghasilkan sesebuah filem. Beliau menyifatkan Mamat Khalid sebagai P. Ramlee yang kedua. Beliau menggunakan pendekatan satira yang tidak menyakiti orang lain. Beliau mengkritik tidak secara terus kerana jika secara terus seolah-olah kita mengatakan kita adalah lebih baik daripada orang lain.

Dr Salman Alfarisi pula selaku panelis kedua menghuraikan filem-filem Mamat Khalid daripada sudut akademik. Beliau menyatakan semua tajuk, dialog, naskhah karya beliau dibangunkan berdasarkan konsep, perancangan, tujuan, visi, misi dan kesedaran tertentu. Contohnya, konsep hantu dalam filemnya berbeza dengan konsep hantu yang biasa dalam filem lain. Hantu kiasan karya kreatif Mamat Khalid mempunyai ciri rupa yang sangat cantik, menarik hati, boleh muncul di siang hari dan boleh berada di merata tempat.

Menurut Mohd. Razalli b. Ahmad Termizi, Pengerusi AJK Wacana Pemikiran Filem Mamat Khalid, program yang mendapat kerjasama yang padu daripada keluarga dan rakan-rakan Mamat Khalid ini adalah julung-julung kalinya berkonsepkan ilmiah dan pertemuan semula. Ia sesuai dengan peranan perpustakaan masakini yang sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menarik masyarakat mendekati institusi perpustakaan. Wacana ini juga akan didokumentasikan oleh pihak perpustakaan agar dapat dirujuk oleh masyarakat.

Program diserikan lagi dengan persembahan istimewa Zahid AF. Beliau menyumbang 3 buah lagu yang dipetik daripada filem-filem Mamat Khalid iaitu “Kenang aku dalam doamu”, “Budi setahun segunung intan” dan “Fatwa pujangga”. Program ini juga bersiaran secara langsung melalui Facebook dan YouTube. Ia mendapat tontonan lebih 2500 orang.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)