oleh: Mohd Raizol Ramli (JHEPA)
PASIR SALAK, PERAK – 1 Julai 2022 – Mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan bukanlah perkara yang mudah. Namun berbekal beberapa inisiatif, komitmen yang tinggi dan membina rangkaian dengan resepi utama yang mendorong Muhammad Faizal Ruhaijat untuk berjaya dalam bidang keusahawanan. Bertambah manis, apabila Muhammad Faizal telah diangkat menjadi juara taikun muda pada bulan mac 2022 dalam program realiti yang berlangsung selama 3 bulan anjuran UMK, KPT dan TV Al-Hijrah.
Muhammad Faizal berkata “Saya mengambil inisiatif sebagai seorang pelajar UPSI untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai persiapan kendiri agar maju dan berjaya dimasa hadapan. Sebagai seorang mahasiswa dalam bidang persembahan teater, saya perlu bijak merancang masa dan menyenaraikan perkara yang perlu dilakukan secara harian untuk mengelak pertindihan dan stress”.
Menyentuh berkaitan produk, beliau berkongsi tips memperkasakan produk perniagaan dengan membuat rekabentuk pembungkusan yang unik atau lain daripada kebiasaan. Selain itu, peniaga juga disarankan untuk menambah perkataan rasa atau perasaan bersama produk, sebagai contoh ‘nasi lemak umph’.
Penetapan pemasaran juga hendaklah dikembangkan daripada ke seluruh negeri dan luar negara dengan menggunakan pelbagai platform digital. Usahawan perlu menambah ilmu dan mencari ruang capaian agar rangkaian produk dapat dipasarkan dimana-mana.
Harapan beliau kepada semua pelajar atau usahawan yang sedang berjuang agar tidak mudah putus asa dan sentiasa kreatif dalam memasarkan produk. “Usahawan perlu sentiasa berdaya saing dan berusaha untuk kukuhkan ekonomi agar kekal relevan dan menambah pelanggan baharu”, ujar beliau.
Perkongsian kejayaan ini dilakukan di pentas IKS, Karnival Jelajah Aspirasi Malaysia (Perak), pada 1 Julai 2022 berjaya menarik perhatian 150 orang pengunjung. Perkongsian juga diselang seli dengan persembahan menarik daripada Pusat Kebudayaan dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.