TANJUNG MALIM, . Kelas tajwid mingguan secara atas talian merupakan inisiatif KeSUA untuk
menerapkan elemen Quranik dalam diri mahasiswa UPSI. Kelas tajwid ini diadakan secara berkala pada setiap minggu sejak penubuhan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) pada tahun 2018.
Program ini dilaksanakan secara atas talian dengan menggunakan platform ‘Google Meet’ dan disiarkan secara langsung di platform Facebook Live Pusat Ulul Albab. Kelas tajwid mingguan ini mendapat sambutan daripada mahasiswa UPSI yang terdiri daripada ahli Kelab Sahabat Ulul Albab, ahli Kelab Al- Mursyidin, ahli Persatuan Rakan Siswa Yadim dan amhasiswa UPSI.
Kelas tajwid ini mempamerkan tenaga pengajar yang hebat secara bergilir dan merupakan pelajar Tahfiz Qiraat iaitu saudara Nazrul Azizi bin Mohamad Fauzi, Ahmad Syakir bin Mohamad Nuri, Muhammad Najmuddin bin Mohd LUbti dan Muhammad Najibullah bin Mohamed Suham . Fokus utama dalam pelaksanaan kelas tajwid ini adalah untuk mendedahkan kepentingan membaca Al-Quran secara bertajwid dan dapat memperbetulkan sebutan setiap huruf dalam Al-Quran.
Pada setiap minggu seramai 90 hingga 100 orang tercatat telah menghadiri kelas tajwid yang terdiri daripada mahasiswa UPSI yang berminat. Bilangan kehadiran peserta menunjukkan bahawa program ini mendapat sambutan yang menggalakkan sekaligus membuktikan bahawa objektif program ini tercapai dengan jayanya.
Prof. Dr. Abdul Halim Ali, Pengarah Pusat Ulul Albab berharap agar mahasiswa UPSI akan terus istiqamah dalam menuntut ilmu tajwid ini dan sentiasa memanfaatkan ilmu yang ada buat diri dan masyarakat.