oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail & Mohamad Afif Ammar Kamsani
Shah Alam – Berhadapan dengan pelbagai cabaran isu melibatkan pengurusan mahasiswa setiap hari menuntut Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) supaya kritis dan kreatif mencari formula terbaik pengurusan jabatan terpenting dalam universiti.
Justeru, JHEPA UPSI baru-baru ini menganjurkan program bina pasukan ‘Team Building & Retreat JHEPA 2022’ bermula pada 15 Julai hingga 18 Julai 2022, di Kem Bumi Jati, Shah Alam, Selangor demi mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara kakitangan bagi menjamin perkhidmatan yang bermutu tinggi.

Menurut Timbalan Naib Canselor UPSI Hal Ehwal Pelajar UPSI, Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata program bina pasukan merupakan salah satu inisiatif Unit Latihan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia UPSI untuk memberi nilai tambah baik dalam organisasi menerusi aspek seperti hubungan dan komunikasi, pengetahuan tentang organisasi dan nilai teras organisasi melibatkan keseluruhan jabatan universiti.
“Program ini merupakan salah satu pengisian penting yang dilaksanakan setiap tahun bertujuan untuk membina hubungan yang harmoni di kalangan staf selain mengeratkan hubungan melibatkan kakitangan pentadbiran dan akademik agar dapat mewujudkan suasana kerja yang kondusif,” jelasnya semasa ucapan majlis penutup JHEPA ‘Team Building and Retreat JHEPA 2022 di sini hari ini ’.
Pelbagai aktiviti disusun sepanjang empat hari program bina pasukan itu berlangsung antaranya sesi Refleksi Team Building, Mesyuarat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Pelan Strategik 2022-2025 serta JHEPA Festival of Ideas dan Majlis Makan Malam yang melibatkan kesuluruhan 181 kakitangan jabatannya.
“Sebanyak 10 tugasan cabaran telah diberi semasa sesi Team Building antaranya cabaran Kita Kuat, Simpulan Kerja, Plate and Nuts, Cabaran Bata dan pelbagai lagi cabaran yang menguji ketahanan mental para peserta,
“Bagaimanapun para peserta turut dibimbing oleh fasilitator dengan memahami langkah kerja berpasukan bagi mencapai matlamat pasukan,” tambahnya lanjut.



Menurut Norkhalid lagi, setakat tahun 2022, JHEPA telah mencapai 8 daripada 21 sasaran KPI Pelan Strategik 2022-2025 sungguhpun baru dilaksanakan pada tahun pertama.
“Menerusi teras ketiga di bawah portfolio Keunggulan Graduan, JHEPA berhasrat untuk menghasilkan para graduan yang holistik dan unggul menurut perspektif akhlak dan akademik, UPSI telah berjaya mencapai lebih 100 peratus dengan 138 pencapaian anugerah pelajar di peringkat kebangsaan tahun ini berbanding 24 pencapaian sahaja pada sasaran awal,” jelasnya lagi.
Selain pencapaian anugerah pelajar di peringkat kebangsaan, JHEPA terus ungguli teras KPI penghasilan graduan yang holistik di peringkat komuniti dan masyarakat dengan penglibatan mahasiswa menerusi program berimpak tinggi di peringkat komuniti serta program pendedahan di peringkat tempatan dan global.
“Baru-baru ini misalnya, para mahasiswa Fakulti Pengurusan Ekonomi UPSI Nur Atikafatiha Mustafa Kamal dan Nur Amirah Nordin memenangi Anugerah Hadiah Buku 2022 serta Loke Hui Chwen, berjaya memenangi Anugerah Best Affiliates Student 2022 oleh Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC),” tambahnya lanjut.
Nota Pengarang: Tahniah JHEPA UPSI dan KPT, proaktif tangani isu makanan kalangan mahasiswa tatkala isu harga makanan melambung. Siap Timbalan Menteri KPT turun padang santuni warga mahasiswa di kampus. Harapnya kita terus cakna terhadap keperluan para mahasiswa yang tatkala semuanya sedang berjihad demi ilmu.