oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Nurul Hasniza Abdul Rashid
Tanjung Malim – Jenama ‘Burger Bae’ yang diusahakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini mengungguli Anugerah Projek Program University To Community 2022.
Perusahaan makanan barat yang dipelopori mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Muhammad Hafiz Irfan Rosli, 24 serta Ijazah Sarjana Muda Akuakultur, Azzah Nublah Muhammad Saih, 24, serta pelajar antarabangsa UMS, Wibowo Prasateyo, 24, berjaya memikat hati juri dan membawa pulang RM 2000 beserta piala.
Menurut pengarah urusan Burger Bae, Muhammad Hafiz Irfan berkata, perusahaan sajian makanan barat itu bermula pada awal tahun 2020 ketika kebanyakan perniagaan gulung tikar akibat berdepan dengan masalah pandemik wabak covid-19.
“Ketika tempoh berkurung sekitar bulan Mac 2020, kami beranikan diri untuk memulakan perniagaan dengan melakukan kajian dan pembangunan demi menghasilan produk bermutu yang ada sekarang,” jelasnya.
Menurut Muhammad Hafiz Irfan lagi, perusahaan makanan segera yang menggunakan bahan-bahan segar dengan resepi unik itu turut melibatkan penyertaan golongan asnaf dan B40 sebagai di lima buah cawangan miliknya sekitar Sabah dan Johor.
“Menerusi strategi jualan yang berkesan serta sokongan daripada keluarga terutama sekali mentor kami Ketua Penolong Pegawai Tadbir, Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS, Awang Nasit Yonos, perniagaan Burger Bae berjaya menambat hati para pelanggan sehingga ada gerai cawangan mencatatkan jualan tahunan mencecah sehingga RM90 ribu ringgit,” jelasnya lanjut selepas menerima anugerah tersebut pada majlis penutup Program University to Community yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar ketika merasmikan majlis penutup berkata, program seumpama ini merupakan usaha berterusan kementerian dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkasakan bidang keusahawanan selain mewujudkan jalinan antara institut pengajian tinggi, industri dan komuniti.
“Menerusi Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMY2030) telah merekodkan sejumlah 414 buah perusahan sosial dengan lebih tawaran 3900 peluang pekerjaan setakat ini. Seramai 90 ribu usahawan mahasiswa telah dilahirkan dengan 9130 graduan meneruskan kerjaya sebagai usahawan sejurus tamat pengajian,” jelasnya ketika ucapan perasmian penutup.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganjuran program University To Community yang bermula sejak September 2020 turut melibatkan 715 mahasiswa dengan 21 buah syarikat perusahaan sosial berjaya ditubuhkan di kampus-kampus universiti awam.
Selain Anugerah Projek UTC Terbaik, UMS turut berjaya meraih tempat pertama Anugerah Pembentang Terbaik. Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) memenangi Anugerah Pameran Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM1000 berserta trofi manakala Anugerah Montaj Terbaik dimenangi Universiti Malaya (UM) dengan hadiah bernilai RM700 dan trofi.
Nota Pengarang: Anak Kandung Suluh Budiman tak kurang hebat rangkul tempat keempat Anugerah Pameran Terbaik, bawa pulang RM700. Semoga Zayyan Global terus subur mengharumkan nama UPSI.