oleh: Nur Atikah Binti Mohd Sabri, (MPP UPSI)

LATA KINJANG, 24 JULAI 2022 – Sukarelawan Siswa UPSI yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 2021/2022 telah menganjurkan Program From UPSI to Community Siri II: Camp@LataKinjang pada 23 hingga 24 Julai 2022 bertempat di Sekolah Kebangsaan Sri Kinjang, Chenderiang, Perak. Program ini bertujuan untuk membina jaringan baik antara UPSI bersama komuniti di samping memberi peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran insaniah melalui program kesukarelawanan.

Seramai 22 anak orang asli Tahun 6 SK Sri Kinjang terlibat sebagai peserta sepanjang program ini berlangsung dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti yang menarik. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Pemantapan 3M (Menulis, Membaca, Mengira), Natural Drawing dan Sukan Bersama Komuniti. Program ini turut dimeriahkan dengan penglibatan ibu bapa dan penjaga melalui slot penggayaan diri.

Sukaneka bersama Komuniti Lata Kinjang

Program ini diharapkan dapat memberi impak yang baik kepada semua pihak terutamanya Sukarelawan Siswa, universiti dan juga komuniti setempat selain menjadi perintis kepada program yang berteraskan kesukarelawanan seperti yang telah dihasratkan oleh Naib Canselor UPSI untuk membina jaringan bersama komuniti.

“Saya menginginkan kehadiran UPSI dirasai oleh komuniti selain ingin membuka peluang kepada mahasiswa menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti” kata Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Bin Md Taff.

Acara sukaneka

Penyampaian hadiah dan cenderahati kepada warga sekolah, pelajar dan komuniti

Menurut Profesor Madya Dr. Norkhalid Bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI pula, “Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk memasyarakatkan universiti dengan merealisasikan pendekatan UPSI (Ukhwah, Prihatin, Santun, Impak) bersama komuniti” katanya.

Penganjuran Program From UPSI to Community Siri II: Camp@LataKinjang merupakan usahasama Sukarelawan Siswa UPSI bersama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), EmpowerNCER Academic@Perak, Pusat Transformasi Komuniti UPSI dan pensyarah kanan Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif UPSI yang telah menyediakan sumbangan karya seni kepada pihak sekolah sebagai tanda kenang-kenangan.

Nota Pengarang: Pemain bola sepak negara yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Aliff Najmi Shaani diamanahkan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada acara pembukaan Asia Universiti Games yang berlangsung di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, Thailand. Bangga UPSI!

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI