oleh: Muhammad Safwan Ismail
foto: Fisol Ahmad
Tanjung Malim, 24 November 2022 – Unit Integriti dengan kerjasama Pusat Islam UPSI telah menjayakan Majlis Bacaan Yasin & Tahlil Perdana sempena 100 tahun SITC, MPSI, IPSI dan UPSI.
Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti mewakili Alumni, Datuk Ahmad Burak.
Majlis ini merupakan salah satu slot kerohanian yang dianjurkan sempena sambutan ulangtahun yang ke-100 bagi legasi SITC MPSI IPSI dan UPSI sekaligus memohon keberkatan, kerahmatan dan keredhaan buat semua warga pendidik khususnya yang bergelar anak kandung suluh budiman.
Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff telah menyatakan harapan kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI untuk menghayati dan menghayati perjuangan terdahulu dalam membentuk kemerdekaan, perpaduan dan pembinaan sebuah negara bangsa yang bermula di bumi Muallim khususnya Universiti Pendidikan Sultan Idris di tanah yang bertuah ini.
“Sehubungan itu, ianya merupakan amanah kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI untuk terus menjunjung agama, bangsa dan tanah air agar legasi Muallim terus cemerlang sekaligus menjulang pepanji pendidikan negara,” jelasnya ketika memberi ucapan aluan sebelum Majlis Bacaan Yasin sempena 100 tahun SITC MPSI IPSI dan UPSI bermula di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Majlis ini disambung dengan Majlis Bacaan Yasin & Tahlil dan diteruskan dengan pelaksanaan solat hajat yang berlangsung selepas solat fardu Isyak secara berjemaah yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Muhammad Majdan bin Ismail. Majlis ini turut melibatkan seramai 1000 mahasiswa dan mahasiswi UPSI dengan kerjasam kolej kediaman yang menghadirkan diri di Masjid Al-Mursyidin bagi sama-sama mengimarahkan Majlis sempena sambutan hari bersejarah buat anak kandung suluh budiman.
Program kerohanian sempena 100 tahun SITC, MPSI, IPSI dan UPSI akan diteruskan dengan slot fazakkir yang akan berlangsung pada 29 November 2022 akan datang dengan tajuk Aqidah dan pemikiran semasa yang menampilkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah sebagai jemputan.
Semoga Universiti Pendidikan Sultan Idris terus mencorak kecemerlangan dikalangan warga pendidik demi membentuk generasi yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.