Oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

Foto: Fisol Ahmad

Tanjong Malim – Pelajar semester enam, Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan, Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Amir Izwan Mat Hussain, 24, dinobat sebagai Anugerah Perdana Naib Canselor “Tokoh Siswa UPSI” di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.

Amir Izwan yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, membawa pulang wang tunai berjumlah seribu ringgit berserta piala, mengatasi lima lagi calon anugerah tertinggi peringkat kepimpinan badan pelajar pusat pengajian tersebut.

Anak sulung daripada empat adik beradik itu memanjatkan rasa syukur beroleh kejayaan dengan menyifatkan anugerah tersebut hasil daripada sokongan keluarga dan rakan-rakan pengajian di kampus.

“Saya bercita-cita tinggi mahu teruskan legasi menjadi pendidik seperti ibu dan ayah yang menabur bakti di sekolah sekitar Kuala Krai tempat saya membesar,

“Selain bertugas sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Kuala Krai, bapa saya Mat Hussain Mat Jusoh turut menjawat tugasan pentadbiran sebagai guru penolong kanan sekolah, sekaligus banyak memupuk minat pengurusan, kepimpinan dan perguruan dalam diri saya,” ujarnya ketika ditemui selepas menerima anugerah kepimpinan tersebut.

Tokoh Siswa UPSI 2022, Amir Izwan sifatkan anugerah diterima hasil sokongan keluarga dan rakan-rakan pengajian di kampus.

Cemerlang dengan keputusan purata gred pengajian semasa 3.70, mahasiswa yang berasal dari negeri Kampung Manik Urai, Kuala Krai Kelantan itu pernah menerima tawaran pengajian dalam bidang penulisan kreatif di sebuah universiti awam sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian dan beralih bidang pendidikan di, UPSI.

Amir Izwan menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff Zabri Mohd yang diiringi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Lembaga Pengarah Universiti Datuk Ahmad Burak, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Datuk Dr. Norkhalid Salimin, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, barisan penasihat badan pelajar dan warga mahasiswa UPSI.

Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar dan Penasihat Badan Pelajar beri suntikan inspirasi kepimpinan mahasiswa

Menurut Mohd Zabri Yusoff, penganjuran majlis ini akan memberi inspirasi suntikan semangat generasi muda sekarang untuk mencipta kecemerlang kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Menerusi kepimpinan di peringkat badan persatuan pelajar ataupun kolej, mampu mencungkil bakat kepimpinan mahasiswa  untuk memacu organisasi dengan tanggungjawab yang lebih besar di peringkat masyarakat mahupun negara,”

“Menariknya, saya juga dimaklumkan ramai tokoh kepimpinan di universiti ini turut mengangkat ramai wajah-wajah pemimpin pelajar daripada kalangan mahasiswi garapan UPSI sekaligus mengangkat martabat wanita dalam bidang kepimpinan,” jelasnya ketika ucapan perasmian Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar dan Penasihat Badan Pelajar UPSI berlangsung dengan meriah di Dewan SITC.

Sementara itu, Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan ini amatlah perlu untuk menghargai sumbangan pemimpin badan pelajar yang telah bertungkus lumus menyumbang keringat, idea dan peranan dalam menaikkan nama UPSI di peringkat yang tertinggi.

        Di UPSI, pihaknya sentiasa menekankan aspek keterlibatan mahasiswa secara proaktif demi meningkatkan lagi kemahiran sedia ada.

        Ini adalah manifestasi pihak pengurusan tertinggi UPSI untuk memastikan mahasiswa dan mahasiswi untuk terlibat secara langsung dalam kepimpinan berorganisasi, sukarelawan, kesukanan, kesenian dan kebudayaan, khidmat masyarakat dan sumbangan kepada komuniti, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

        Md Amin berkata UPSI sentiasa komited menyediakan platform untuk memotivasi dan memberi penghargaan kepada keterlibatan mahasiswa untuk lebih aktif secara holistik demi untuk memperkukuh keinsanan ketika bergraduat kelak.

        Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, UPSI dan JHEPA akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk melahirkan generasi pemimpin mahasiswa yang berkaliber melalui penglibatan organisasi badan pelajar secara meluas dan seterusnya menjadi penanda aras untuk dicalonkan ke Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pengajian Tinggi.

        Selain Anugerah Perdana Naib Canselor Tokoh Siswa UPSI,  majlis yang gilang gemilang ini menyaksikan 41 anugerah dipertandingkan dengan kemunculan Persatuan Mahasiswa Sains sebagai Badan Pelajar Terbaik serta mengangkat Dr. Nurulsaidah Abdul Rahim merangkul Penasihat Terbaik.

–    Turut disiarkan di: Sinar Bestari, Suara Merdeka, Berita Harian

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)