oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Tanjong Malim – Mengimbangi antara kecemerlangan bidang akademik dan pembangunan sahsiah, mahasiswa disarankan untuk bergiat aktif dalam ko-kurikulum yang telah menjadi sebahagian kursus berkredit dalam tempoh pengajian.

Bagi memperkasa kursus penting keterampilan mahasiswa, Pusat Ko Kurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Karnival Ko Kurikulum peringkat universiti 2022 di Kampus Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Acara tahunan itu menghimpunkan hampir sembilan ribu pengunjung yang terdiri daripada 8100 pelajar dengan kehadiran lebih 300 tenaga pengajar dan sokongan serta penduduk sekitar daerah tersebut.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, penganjuran Karnival Kokurikulum UPSI 2022 yang mengangkat tema ‘Mahasiswa Kelas Pertama’ itu turut mengumpulkan pelbagai agensi luar seperti badan beruniform dengan penglibatan seperti Polis Di Raja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Puteri Islam Malaysia dan Persatuan Pandu Puteri.

“Karnival Ko Kurikulum menjadi landasan bagi percambahan idea, ilmu pengetahuan dan kemahiran selain memantapkan kualiti pengendalian, pelaksanaan amalan dalam ko-kurikulum serta persediaan kepada mahasiswa UPSI apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Aktiviti kokurikulum bukan saja penting sebagai pengayaan diri pelajar dari sudut ilmu dan kemahiran yang menjadi nilai tambah dalam kemenjadian mahasiswa, sebaliknya penerapan kemahiran insaniah dalam modul ko-kurikulum merupakan dapat melahirkan graduan kelas pertama yang holistik dan berfikiran matang, sesuai dengan kehendak industri, jelasnya semasa ucapan perasmian.

Majlis perasmian yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI; Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Pengarah, Pertahanan Awam, Negeri Perak, Kolonel  Rohaizat Adli, Pengarah Pusat Ko Kurikulum, Dr. Mazuki Mohd Yasim serta Jawatankuasa Pengurusan Universiti juga dimeriahkan dengan acara perbarisan kontinjen-kontinjen badan beruniform, persembahan pancaragam Pusat Latihan Angkatan Tentera Malaysia, tarian perang Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), persembahan seni pertahanan diri dan unit K9, Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), persembahan seni Silat Gayung, Serimau Hitam dan Taekwando, senamrobik, demonstrasi kecemasan Kor-Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) serta pameran badan-badan persatuan di reruai karnival.

turut diterbitkan di: Suara Merdeka

Nota Pengarang – Persembahan ‘Tarian Perang’ Palapes berjaya menjentik emosi penulis. Syabas!

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my