Oleh: Zuraikah Ismail
TANJONG MALIM – Program Career Talkshow 1.0 telah berlangsung dengan meriah pada 8 Disember 2022 bertempat di Pentas Utama, Dataran Cemerlang Bersama, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini telah membawakan kepada semua mahasiswa UPSI, dua panel jemputan yang terdiri dari bidang kerjaya yang berbeza iaitu Naufal Isa dan Naim Daniel. Kedua-dua mereka ini merupakan Influencer terkenal di seluruh Malaysia, Naufal Isa dengan bidang kerjayanya seperti speaker motivasi Islamik dan beliau merupakan seorang usahawan. Manakala, Naim Daniel sangat sinonim dengan kerjaya lakonan dan nyanyian serta bergiat aktif sebagai penggiat seni tanah air di dalam dan luar negara khususnya Asia Tenggara.
Dengan topik yang dekat dalam kalangan mahasiswa khususnya para graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai peringkat telah dibawa dan dibincangkan dalam program ini iaitu, “Kerjaya Masa Depan Mahasiswa.” Suatu topik yang signifikan bagi semua mahasiswa membuat persediaan yang rapi untuk memasuki alam pekerjaan dengan persiapan mental dan fizikal yang utuh.
Program yang dianjurkan oleh barisan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh sidang 2022/2023 dengan kerjasama dari beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) dan badan pelajar terlibat seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Komunikasi Korporat, Pusat Kaunseling, Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Pusat Islam, Majlis Perwakilan Pelajar, Kelab Al-Mursyidin, Kelab Keusahawanan dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa.
Saudara Muhammad Naufal bin Mohamad Isa, 25 atau lebih dikenali dengan gelaran nama Naufal Isa, bukan sahaja dikenali sebagai influencer, malah beliau juga aktif dalam mengembangkan perniagaannya menubuhkan The Truth Concept di bawah kelolaan beliau. Hasrat beliau yang turut dikongsikan dalam program ini adalah beliau berharap agar para mahasiswa universiti dapat mengetahui cara mengawal setiap tindakan dan emosi kita agar perkara itu dapat memberi manfaat dalam kehidupan kita.
“Hendak menjadi seorang yang bekerjaya mestilah dimulai dengan penerapan ilmu dan ilmu ini pula harus diseiringkan dengan pemupukan akhlak, barulah hidup kita bertambah berkat,” ujar beliau.
Saudara Muhammad Na’im Daniel bin Baharin, 25 atau Naim Daniel juga berharap agar melalui penganjuran program ini, beliau dapat memberikan suatu pesan dan nasihat ibarat seorang abang menasihatkan adik-adiknya agar mengejar impian kerjaya mereka sampailah mereka sudah puas hati dan bangga dengan hasil keputusan yang telah dibuat oleh mereka sendiri. Naim juga berkongsi cerita bersama-sama dengan mahasiswa UPSI mengenai perit getir kehidupannya sebelum menjadi pelakon dan penyanyi dan beliau juga memberitahu bahawa kehidupannya selepas menjadi orang yang terkenal di Malaysia turut menjadi hinaan netizen dan ada juga yang memperlekehkan bidang kerjayanya sebagai seorang penyanyi sebelum beliau belum menerima mana-mana anugerah ternama.
Antara tetamu kehormat yang hadir ke program ini ialah Profesor Madya Dr. Mohd Nizam bin Haji Nasrifan, Pengerusi Majlis Pengetua-pengetua Kolej Kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menjadi perasmi program Career Talkshow 1.0 ini. Puan Shakila binti Mohd Idris, Penolong Pendaftar Kanan Kolej Awang Had Salleh dan seorang wakil pelajar dari badan pelajar berikut seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa turut hadir bagi memeriahkan lagi program ini.
Tidak ketinggalan juga, suatu amanat yang ingin disampaikan oleh Pengarah Program Career Talkshow 1.0 ini, saudara Fathul Khuzairi bin Mohd Fuad, 19 atau lebih mesra dipanggil Fathul turut berkongsi pengalaman pahit manisnya dalam menjayakan program ini di bawah penganjuran Pesta Konvokesyen kali ke-24. Bukan suatu kerja yang mudah, beliau yang juga turut menghadapi peperiksaan akhir semesternya itu ditambah dengan beban kerja program yang ingin dilaksanakan tidak pernah mematahkan semangat dan jiwanya dalam meneruskan perjuangan memberi suatu impak yang besar kepada mahasiswa dalam program ini.
Beliau amat berharap agar penganjuran program ini dapat memberi tambah nilai ilmu kepada mahasiswa perlu diteruskan agar mahasiswa tidak terlalu leka dan alpa dengan sekadar mendapatkan hiburan apabila tiba musim Pesta Konvokesyen di UPSI ini.