oleh: Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan & Shahaniza Shamsuddin (NCDRC)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) perkenal Mykids, dua produk terbaru yang dibangunkan pakar penyelidik universiti tersebut untuk membantu proses saringan awal pekerja pusat asuhan kanak-kanak (MyScreen) dan Toy Indeks, sebuah instrumen piawaian pengeluaran alat permainan kanak-kanak.
Menurut Naib Canselor UPSI, sebagai sebuah universiti pendidikan terulung, UPSI sentiasa cakna dalam membantu pembangunan masyarakat baik dari segi akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan, perkhidmatan mengambil peranan memasyarakatkan universiti.

“Pembangunan sistem Malaysia Psychometric Inventory for Care and Education (MySCREEN) adalah standard ujian penyaringan bagi merekrut pendidik, pengasuh, penjaga yang bekerja dalam bidang Pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) serta calon pelajar bagi program akademik PAKK,
“Toy Indeks pula merupakan instrumen bertujuan menilai kesesuaian alat permainan kanak kanak berumur 3 tahun hingga 5 tahun dan sbagai satu alat penanda aras kepada pengeluar produk permainan kanak-kanak untuk menyediakan alatan permainan yang lebih berkualiti dan terjamin,” jelasnya ketika ucapan aluan sempena majlis penutup Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2022 Peringkat UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil baru-baru ini.

Dalam pada itu, turut hadir, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot turut dalam ucapan perasmiannya mengalu-alukan penyertaan UPSI dalam membantu usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak di Malaysia untuk kesejahteraan kanak-kanak.
“Amat penting kanak-kanak rasa kepunyaan dan tidak disisihkan walaupun dengan latar belakang yang berbeza tetapi saling menghormati sesama mereka dan orang dewasa,” jelasnya lanjut.
Sambutan Hari Kanak-kanak UPSI yang disambut bermula 17 Oktober 2021 hingga 23 November 2022 turut melibatkan kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, serta Kerajaan Negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) padat dengan pengisian program memperkasa kanak-kanak seperti webinar, pertandingan mewarna, pertandingan pakaian beragam, bengkel boneka, Bengkel Mencipta Lagu Kanak-Kanak, Bengkel Teknik bercerita, Bengkel Biblioterapi, Saringan Kesihatan Kanak-kanak, forum ilmu dan banyakbanyak lagi.
Selain perasmian sistem MyKids UPSI, Shaharudin turut menyampaikan tiga anugerah telah Anugerah Tokoh Kanak-Kanak (Kategori OKU) kepada adik Muhammad Akmal Danish Mohamad Supi, Anugerah Tokoh Kanak-Kanak (Sukan)kepada adik Arif Naufal A Hadi Kamil, dan Anugerah Tokoh Kanak-Kanak (Akademik) kepada adik Damia Irdina Khairul Nizam.
Mengangkat tema “Keterangkuman dan Kepelbagaian untuk Setiap Kanak-kanak”, majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Nor Tipah Majin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Profesor Dr. Suriani Abu Bakar. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Profesor Dr. Norkhalid Salimin turut dimeriahkan lagi dengan pameran inovasi, gerai usahawan cilik, persembahan tarian kanak-kanak, persembahan silat tarian dan ucapan daripada wakil Kanak-kanak Perak, adik Ahmad Faizzuddin Muhaimin Ahmad Kamari daripada Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Aziz, Parit.
Turut diterbitkan di: Suara Merdeka